Nelayan dakwa dihina perkataan 'Melayu bodoh, otak udang'

Nelayan dakwa dihina dengan perkataan ‘Melayu bodoh, otak udang’

PANDAK Ahmad (kanan) bersama-sama kumpulan nelayan tempatan yang mendakwa dimarahi pihak berkuasa Singapura dengan kata-kata kesat dalam rakaman video yang tular dalam media sosial, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Nelayan tempatan yang terlibat dalam pertengkaran dengan pihak berkuasa Singapura Ahad lalu kesal dengan sikap penguat kuasa negara berkenaan yang menghamburkan kata-kata kesat dan penghinaan kepada mereka.

Syamsul Raihan Mohd. Noor, 40, mendakwa, antara kata-kata kesat yang dilemparkan anggota penguat kuasa terbabit termasuk ‘Melayu bodoh’.

Menurutnya, penghinaan sedemikian menyebabkan dia dan sembilan lagi rakannya berasa marah.

“Jaring yang kita pasang memang dalam perairan Malaysia, tetapi faktor arus menyebabkan kita tidak dapat pastikan ia hanyut ke mana, mungkin kekal dalam perairan Malaysia atau mungkin masuk sedikit ke perairan Singapura.

“Dalam pukul 5.30 petang, mereka datang, minta kad pengenalan dan beritahu kita sudah memasuki perairan Singapura. Apa yang saya kesalkan adalah sikap seorang anggotanya yang bertindak mengeluarkan kata-kata kesat.

“Masalah itu tidak akan berpanjangan sekiranya pegawai terbabit bertindak lebih profesional ketika menjalankan tugasnya. Saya menjadi nelayan sejak berusia 12 tahun, sepanjang tempoh itu tidak pernah saya memasuki perairan Singapura,” katanya kepada pemberita di Kampung Pendas, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Syamsul Raihan turut meminta pihak berkuasa untuk melakukan pemetaan dan meletakkan tanda sempadan menggunakan kaedah yang lebih jelas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, khususnya kepada nelayan tempatan.

Seorang lagi nelayan, Faizan Wahid, 41, mengakui kesal kerana dilayan seolah-olah tidak mempunyai harga diri hanya kerana memilih nelayan sebagai karier dalam mencari rezeki.

“Mana boleh begitu, memang kita ini nelayan tetapi kita mana ada masuk tempat dia, lepas itu marah-marah cakap otak macam udang. Siapa yang tak marah. Kita ini nelayan, ini rezeki kita.

“Punca pertengkaran itu adalah sikap mereka yang tidak baik,” jelasnya.

Seorang lagi nelayan, Mohd. Azman Mahanot, 37, pula mendakwa, pihak berkuasa Singapura kini turut menggunakan teknologi bot rondaan tanpa pemandu yang boleh mengancam keselamatan nelayan tempatan.

“Apa yang kita risau sekarang dia ada bot tanpa pemandu. Perkara itu yang kita takut kerana dia boleh rempuh bot nelayan,” ujarnya.

Semalam, tular dua video berdurasi dua minit dan 43 saat dalam media sosial yang menyaksikan nelayan tempatan dihalau pihak berkuasa Singapura. Video berkenaan  menyebabkan warganet marah dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas atas kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan pihaknya telah menerima laporan yang dibuat oleh kumpulan nelayan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.