Naik gred jawatan guru besar tetap kekal - Utusan Malaysia

Naik gred jawatan guru besar tetap kekal

ISMAIL Sabri Yaakob beramah mesra bersama warga NUTP yang hadir selepas berucap pada Perhimpunan Khas bersama Warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Guru besar sekolah yang grednya dinaikkan dari DG48 kepada DG52 dan DG54 akan kekal memegang terus jawatan tersebut dan tidak akan ditukar ke jawatan yang lebih rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa jawatan guru besar dan guru penolong kanan di sekolah rendah bagi meningkatkan kecekapan sistem secara menyeluruh dalam memastikan tugas guru dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan efisien.

Katanya, pemerkasaan itu dibuat setelah meneliti beberapa cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bagi menyelesaikan isu guru dan pegawai pendidikan ketika ini.

Selama ini jelasnya, penyandang jawatan guru besar gred DG48 diturunkan sebagai guru penolong kanan atau guru biasa di sekolah rendah apabila dinaikkan pangkat ke gred DG52 dan DG54 secara time based berasaskan kecemerlangan (TTBK).

“Gred guru besar dan guru penolong kanan di sekolah rendah akan ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54.

“Pelaksanaan ini akan menaik taraf gred hakiki bagi jawatan guru besar dan guru penolong kanan serta membolehkan mereka yang telah dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi, kekal di jawatan tersebut sehingga gred DG54,” katanya ketika hadir perhimpunan khas bersama warga NUTP di ibu negara semalam.

Pada masa sama katanya, Kementerian Pendidikan sedang mengkaji struktur perjawatan guru besar dan guru penolong kanan sekolah rendah melalui cadangan Model Sekolah dengan penetapan gred fleksi sehingga DG54 bagi memastikan kedudukan pentadbir sekolah sentiasa terpelihara, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan warga sekolah.

Selain itu katanya, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG48 diberi peluang untuk dilantik sebagai guru penolong kanan di sekolah rendah.

“Justeru, guru penolong kanan di sekolah rendah, tidak hanya terhad kepada gred DG44 sahaja.

“Selaras dengan keputusan pertama, guru penolong kanan yang telah dinaikkan pangkat gred yang lebih tinggi, kekal di jawatan tersebut sehingga gred DG54,” katanya.

Ismail Sabri juga mengumumkan, laluan kerjaya bagi guru cemerlang di sekolah rendah diperluas sehingga ke gred DG52 dan DG54.

“Ini kerana 90.68 peratus guru sekolah rendah telah pun berada di gred siswazah.

“Peningkatan gred jawatan guru besar dan guru penolong kanan ini akan memberi faedah secara langsung kepada seramai 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya