AS kuat kuasa sekatan cip AI terhadap syarikat China - Utusan Malaysia

AS kuat kuasa sekatan cip AI terhadap syarikat China

SYARIKAT Nvidia menentang pelesenan global bagi mengawal akses kepada cip AI. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan notis mengesahkan sekatan terhadap penghantaran semikonduktor kepada anak syarikat China yang berpangkalan di luar negara komunis itu.

Ia mengeluarkan notis itu  berikutan kebimbangan mengenai kelemahan dalam rejim kawalan eksport Washington.

Jabatan Perdagangan AS dalam garis panduan yang dikeluarkan pada Ahad berkata, keperluan pelesenan bagi eksport cip kecerdasan buatan (AI) canggih terpakai kepada semua perniagaan yang mempunyai ibu pejabat atau syarikat induk di China.

Biro Industri dan Keselamatan (BIS) di bawah Jabatan Perdagangan berkata, pihaknya mengeluarkan penjelasan itu susulan persoalan sama ada ia menguatkuasakan keperluan lesen sedia ada selepas membatalkan rangka kerja untuk AI pada era bekas Presiden Joe Biden.

“Jawapannya adalah ya,” kata BIS dalam notis tersebut.

Rangka kerja yang diperkenalkan pada hari-hari terakhir pentadbiran Biden mencadangkan pelaksanaan rejim pelesenan global bagi mengawal akses kepada cip AI, termasuk had eksport untuk semua negara kecuali sekutu terdekat AS.

Rangka kerja tersebut mendapat bantahan daripada syarikat teknologi, termasuk Nvidia, syarikat cip paling bernilai di dunia.

Syarikat itu menyifatkan cadangan itu sebagai ancaman terhadap inovasi dan kerjasama rentas sempadan.

Pentadbiran Presiden Donald Trump menggugurkan rangka kerja itu pada Mei tahun lalu, sebelum ia dilaksanakan.

Beliau memberi alasan ia mengandungi keperluan kawal selia baharu yang membebankan dan boleh menjejaskan hubungan diplomatik Washington dengan negara lain. – AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN