KUALA TERENGGANU: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris menawarkan diri menjadi orang tengah bagi membantu mencari jalan penyelesaian kemelut antara parti itu dan Pas supaya Perikatan Nasional (PN) kekal utuh berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, perbezaan pandangan yang berlaku ketika ini tidak seharusnya terus dipanjangkan menerusi media sosial kerana ia hanya mengeruhkan keadaan dan memberi keuntungan kepada pihak lawan.
Katanya, jalan terbaik bagi menyelesaikan sebarang perselisihan adalah melalui rundingan melibatkan pimpinan tertinggi kedua-dua parti.
“Kalau kita tengok senario yang berlaku sekarang, beberapa kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin Pas dan dijawab pula oleh pemimpin Bersatu menerusi media sosial.
“Namun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyatakan secara terbuka bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk berpecah dengan Pas dan mahu mencari jalan penyatuan bagi memperkukuh PN,” katanya ketika ditemui semasa meninjau Pasar Besar Kedai Payang, di sini.
Razali yang merupakan antara pengasas awal Bersatu, percaya hubungan antara kedua-dua parti masih boleh diperkukuh sekiranya pemimpin utama duduk semeja bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Saya menawarkan dirimmenjadi orang tengah supaya rundingan dapat diadakan dengan segera. Dalam Pas ada jawatankuasa tertinggi, dalam Bersatu juga ada jawatankuasa tertinggi. Saya yakin jika mereka duduk berbincang secara tertutup dan matang, jalan penyelesaian boleh dicapai demi mengukuhkan PN,” katanya.
Beliau berkata, pertelingkahan terbuka dalam kalangan penyokong dan pemimpin peringkat bawahan hanya membawa kepada perpecahan yang akhirnya merugikan gabungan tersebut.
“Sampai bila kita mahu membiarkan perkara sebesar ini berlarutan dan pengikut-pengikut kita terus bergaduh dalam media sosial? Yang mendapat keuntungan adalah pihak lain. Saya tidak percaya jika berlaku perpecahan, kita mampu mencapai matlamat untuk kembali memerintah,” katanya.
Mengulas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang membuka laluan kepada PRN negeri itu, Razali berkata, perkembangan tersebut seharusnya menjadi pemangkin kepada semua pihak dalam PN untuk memperkukuh kerjasama sedia ada.
Menurutnya, semua pihak perlu menghentikan polemik terbuka dan memberi ruang kepada pimpinan tertinggi untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Hari ini bukan masanya untuk kita saling menyerang atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan. Pilihan raya akan berlangsung dalam tempoh terdekat. Kita perlu berhenti seketika dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan yang terbaik.
“Saya berharap selain daripada presiden parti, pemimpin lain tidak lagi memperbesarisu ini. Berikan ruang kepada Muhyiddin dan kepemimpinan Pas duduk berbincang serta menentukan hala tuju perjuangan PN,” katanya. – UTUSAN










