PN Johor atur gerak kerja

PN Johor atur gerak kerja

SAHRUDDIN JAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) Johor akan menga­dakan perbincangan dengan kepimpinan pusat gabungan tersebut dalam waktu terdekat susulan pengumuman pembubaran Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, semalam.

Pengerusinya, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, pihaknya bersedia dengan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa, tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya baru sahaja dengar cerita (pembubaran DUN), sehubungan itu PN Johor sudah maklum akan perkembangannya ini dan kita sedia untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

“Buat waktu ini, calon-calon PN Johor akan diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, pihaknya turut menerima permohonan daripada beberapa parti politik lain untuk turut sama terlibat dengan PN Johor dalam PRN akan datang.

“Selain itu ada beberapa parti menghubungi saya untuk mengadakan kerjasama electoral pact seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Perkara itu akan dibincangkan dalam pertemuan dengan kepimpinan tertinggi PN dalam masa terdekat. Pada masa sama, saya arahkan jentera-jentera PN diaktifkan dan gerak kerja menjelang PRN dimulakan segera,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, pengumuman pembubaran agak mengejut kerana berlaku tanpa sebarang petanda jelas.

“Agak mengejutkan walaupun sudah ada maklumat berkenaan (pembubaran DUN) sejak pagi tadi (semalam). Apa pun saya sudah mengarahkan jentera Pas digerakkan semaksimum mungkin bagi berdepan PRN Johor.

“Saya akan muktamadkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi Pas di negeri ini bersama-sama parti komponen lain dalam PN,” kata Timbalan Pengerusi PN Johor itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN