TUMPAT: Proses penggantian Mykad hilang atau rosak yang hanya mengambil masa selama 30 minit bukan lagi alasan untuk tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya akan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan mereka yang berdepan masalah dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut.
“Saya harap selepas ini, tidak timbul gagal keluar membuang undi kerana Mykad hilang kerana proses gantian mengambil masa setengah jam sahaja.
“Kita akan buat penggantian segera bagi memastikan tanggungjawab itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Pada masa yang sama, kita tidak mengenakan sebarang caj,” katanya pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri JPN kepada Mek Nab Ismail di Kampung Laut 3 di sini, semalam.
Ruslin memberitahu, kebiasaannya proses menggantikan MyKad memakan masa sehari namun bagi kes-kes khusus boleh dilakukan dengan cepat iaitu dalam tempoh 30 minit.
Katanya, JPN sentiasa prihatin dan komited dalam memudahkan urusan pengguna selaras dengan slogan jabatan ‘Rakyat di Hati JPN’.
Mengulas mengenai program Mekar, Ruslin berkata, ia bertujuan memberi perkhidmatan kepada golongan yang berisiko terutama kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, pada masa sama pesakit terlantar, mental, kronik dan mereka yang tiada upaya untuk datang ke JPN turut diberikan perhatian. – UTUSAN










