KUALA LUMPUR: MIC bersedia untuk membantu memenangkan setiap calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang ditandatangani bagi memastikan pemerintahan negara diambil alih oleh BN.
Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, perkara itu bagi memastikan negara menapat kestabilan dan membawa kemakmuran kepada masyarakat melalui Kerajaan BN.
Sehubungan itu, katanya, MIC sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sejak beberapa bulan lalu yang hanya menunggu semboyan pembubaran daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Memandangkan beberapa kerajaan sudah bertukar, maka yang perlu dibuat adalah untuk memberi mandat kepada rakyat memilih kerajaan yang stabil jujur dan ikhlas.
“Saya berharap kepada rakyat Malaysia yang inginkan kestabilan dan kemakmuran antara kaum supaya memberi peluang kepada kita sekali gus menjamin negara kita daripada puak-puak yang mengambil alih kerajaan dengan tohmahan dan penipuan.
“(Elakkan memilih) kerajaan yang membuat manifesto, tetapi tidak mampu menepati janji dan apabila manifesto itu di luar jangkaan dari bajet negara, maka mereka akan menghabiskan dana reserved seperti mana yang berlaku semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan sehingga terpaksa menjual aset-aset yang membawa kerugian kepada anak muda yang akan akan mengambil alih negara ini,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), di sini hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk membubarkan Parlimen Penggal Ke-14 berkuatkuasa hari ini.
Beliau berkata, perkara itu selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mengulas lanjut, Vigneswaran mengharapkan, kaum berketurunan India di negara ini supaya memilih BN bagi mendapatkan manfaat berbanding gabungan mahupun pakatan yang lain.
Beliau berkata, ini kerana semua perkara yang dilaksanakan Kerajaan BN sebelum ini bagi memberi manfaat kepada kaum India di negara ini sudah terbukti diketepikan semada pemerintahan PH terutamanya berkaitan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (JKMPSI).
“Oleh kerana itu, saya memang pasti rakyat khusunya kaum berketurunan India tahu bahawa (mereka) mendapat lebih manfaat di bawah BN.
“Saya berharap pada kaum berketurunan India jangan kita ingat pembangkang yang jaguh bercakap saja, tetapi langsung tak boleh buat kerja. (Mereka) ada empat menteri (berketurunan India) pun tak boleh buat kerja. (Jadi), saya memang tahu bahawa kaum keturunan India akan rela beri undi kepada BN berbanding PH,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, orang ramai terutamanya masyarakat India diharap dapat membuat pilihan sewajarnya dan tidak membuat keputusan mengikut emosi.
Katanya, rakyat kini sudah boleh menilai kerana semua parti politik dan pemimpin sudah diberi peluang serta pengalaman sama ada untuk memerintah atau menjadi menteri.
“Rakyat boleh menilai dan memilih, tetapi yang penting kita perlukan kestabilan politik dan hanya BN boleh beri kestabilan. Walaupun kita kalah, MIC, MCA dan UMNO masih bersama, tetapi mereka bertanding sebagai lima atau enam parti dalam dua Pilihan Raya Negeri sebelum ini walaupun menang pilihan raya umum,” katanya.
Ketika ditanya berhubung pembubaran Parlimen yang diadakan pada musim sambutan Deepavali, bekas Menteri Sumber Manusia itu berkata, beliau tidak menolak berlaku ketidakpuasan hati terutama dalam masyarakat India biarpun tarikh PRU15 masih belum rasmi.
Bagaimanapun, katanya, masyarakat India perlu melihatnya dari sudut positif kerana mereka dapat mengambil kesempatan ini untuk membantu rakyat sekiranya pilihan raya umum diadakan sama dalam musim perayaan kali ini.
“Kita boleh ambil kesempatan ini untuk membantu golongan miskin lebih daripada sebelum ini dan mengeratkan silaturrahim melalui rumah terbuka,” jelasnya. –UTUSAN










