Menang di Perak, menang di seluruh negara - Muhyiddin

Menang di Perak, menang di seluruh negara – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Kemenangan di Perak menjadi petunjuk terhadap peluang Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika menang di Perak, PN berpeluang untuk menang di seluruh negara sekali gus menjadi kerajaan.

“Saya fikir Perak PN boleh menang, ini  saya dah rasa. Tadi, semasa saya masuk Bilik Gerakan PN Perak dan mendengar taklimat daripada Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu), nampak ada harapan yang baik di Perak.

“Menang di Perak,  menang seluruh negara dan saya harap Johor pun menang,” katanya ketika berucap pada Pelancaran PN Perak di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Parlimen tidak wajar dibubarkan sekarang tetapi bukan kerana PN takut untuk menghadapi PRU15 sebaliknya demi memikirkan soal rakyat yang akan terjejas berikutan kemungkinan berlaku banjir.

Menurutnya, namun jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, PN sedia menghadapi PRU15.

“Kalau esok bubar Parlimen, apa nak kata, tapi kalau betul terbubar, Belanjawan sudah bentang, kalau jadi bubar esok, maknanya  tak ada lagi persidangan (Parlimen), jadi Belanjawan itu Belanjawan apa, halwa telinga?

“Tapi tak apa, kalau terhenti (kerajaan), apabila kita terpilih, PN  akan bentangkan Belanjawan yang lebih baik, bukan takabur tapi kita ada pengalaman,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, PN dan Pas tidak harus dipersalahkan kerana tidak menyertai Muafakat Nasional (MN) sebaliknya beliau menyokong penyatuan ummah dalam kalangan parti-parti Islam Melayu.

Menurutnya, sebab itu PN tidak membantah apabila Pas mahu mengadakan pertemuan dengan UMNO bagi membincangkan penyatuan ummah baru-baru ini.

Beliau berkata, malah semasa MN sudah ditubuhkan, beliau sebagai Presiden Bersatu ada dijemput untuk berbincang mengenai penyertaan parti itu dalam MN.

“Apabila kami dijemput, kami dalam Bersatu bincang dan kami berpendapat kalau itu niatnya (penyatuan ummah), kita harus fikir semasak-masaknya untuk sertai MN, kami nak buktikan jika niat dan usaha yang baik, maka kita sokong.

“Kita jawab dan sedia berbincang dalam MN, kami hantar surat rasmi tapi sampai sekarang tak dapat khabar, tak tahu terima atau tidak, tak ada kenyataan balas daripada UMNO terima kami.

“Malah PAU (Persidangan Agung UMNO)  tolak Bersatu, sedangkan awal-awal dia yang pelawa kami, ajak-ajak ayam.

“Kami mahukan penyatuan ummah tapi kami tak diterima, jadi jangan salahkan Bersatu, jangan salahkan Pas,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya