PETALING JAYA: Sempena hari istimewa Sambutan Ulang tahun Kedua MBSJ yang berlangsung selama dua hari bermula 22 Oktober sehingga 23 Oktober 2022 , Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah menganjurkan Fun Ride dan Kejohanan Kriterium pada 23 Oktober di Arena MBSJ.
Program itu telah dilepaskan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Acara kayuhan ini terbuka kepada dua kategori utama yang melibatkan komuniti Subang Jaya dan warga kerja MBSJ. Kayuhan santai sejauh 26.8 kilometer ini bermula di Dataran MBSJ sehingga
Persiaran Perpaduan dengan penglibatan peserta daripada pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat.

Selain daripada itu, bagi merancakkan lagi kemeriahan karnival pada kali ini, pihak Majlis turut menyediakan acara ikonik iaitu pertandingan kriterium yang terbuka kepada 10 kategori utama.
Cabaran kriterium pada kali ini berjaya menarik minat seramai 780 peserta Fun Ride dan 450 peserta Kejohanan Kriterium dari seluruh komuniti Subang Jaya. Peserta yang berjaya melengkapkan kayuhan dalam masa ditetapkan akan menerima hadiah wang tunai dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 9,000.00.
Selain mendedahkan mereka kepada situasi perlumbaan, ia juga mewujudkan platform hobi dengan menjadikan berbasikal sebagai kegiatan masa lapang.
Pada hari yang sama juga turut diadakan pertandingan melukis dan mewarna serta pertandingan Doodle Art MBSJ yang bertemakan bandar raya vibrant dan mampan.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun khas buat komuniti Subang Jaya yang meliputi setiap aspek utama seperti interaksi sosial, beriadah, bersukan dan berekreasi selaras dengan usaha MBSJ menjadikan bandar Subang Jaya sebagai bandar sihat dan komuniti sejahtera. – UTUSAN










