KOTA BHARU: Murid dan pelajar sekolah yang menjadi mangsa kepada jenayah seksual tidak perlu takut membuat laporan polis sekiranya perkara itu berlaku ke atas mereka.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, laporan itu memudahkan polis menjalankan siasatan berhubung dengan kes berkenaan.
Katanya, MCPF akan turun ke sekolah bertemu dengan murid dan pelajar bagi memberi pendidikan kepada mereka yang belum mengetahui tatacara betul untuk membuat aduan kepada polis.
“Kelantan adalah negeri pertama yang mengadakan bengkel untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkait dengan perkara ini dan kita bergerak ke seluruh negara.
“Tujuan MCPF adalah mahu para pelajar mengetahui dan faham apa itu takrifan jenayah seksual yang boleh memberi kesan kepada mental dan fizikal mereka,” katanya selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Rasuah Negeri Kelantan Tahun 2022.
Ayub memberitahu, MCPF mahu mereka yang menjadi mangsa supaya memaklumkan perkara itu dengan kadar segera kepada ibu bapa sebelum membuat laporan polis. – UTUSAN