Malaysia seperti membisu soal keselamatan Sabah dan Sarawak

Malaysia seperti membisu soal keselamatan Sabah dan Sarawak

DR. DAUD YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr. Daud Yusof menyifatkan kerajaan Persekutuan tidak serius dalam menangani hal keselamatan negara terutama membabitkan kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, jika kerajaan serius memastikan keselamatan dan kedaulatan Sabah dan Sarawak terpelihara, kerajaan harus menyediakan peruntukan bagi memperbaharui aset-aset ketenteraan yang telah usang.

Katanya, segala usaha untuk meningkatkan aset ketenteraan di negara ini dilihat gagal susulan pendedahan beberapa skandal sekali gus membuktikan ketirisan berlaku dalam Kementerian Pertahanan.

“Komitmen (kerajaan) apa yang cuba disampaikan oleh Kementerian Pertahanan dalam menangani isu keselamatan negara di Laut China Selatan khususnya di perairan Sabah dan Sarawak.

“Ini dapat dilihat apabila skandal demi skandal ketirisan wang rakyat membabitkan aset ketenteraan seperti skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) sembilan buah bernilai RM9 billion yang hingga kini belum diterima.

“Belum selesai isu LCS, muncul lagi skandal Meriam Self Propelled Howitzer (SPH) yang dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan (MOF),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (Warisan) itu mempersoalkan bentuk komitmen yang diakui Barisan Nasional (BN) dalam menangani isu keselamatan serantau khususnya di Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan kerajaan telah membuktikan keupayaan dan komitmen dalam menangani isu keselamatan rantau Asia khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menurut Hishammuddin, melalui kerjasama pertahanan secara trilateral antara negara-negara jiran termasuk Indonesia, Brunei dan Filipina, ia mampu membantu negara menangani isu keselamatan rantau Asia sekalipun berdepan dengan masalah aset pertahanan.

Dr. Daud turut mempersoalkan bentuk tindakan kerajaan Persekutuan sebelum ini dalam menangani siri pencerobohan perairan Sabah dan Sarawak di Laut China Selatan oleh tentera China.

Beliau berkata, situasi itu telah menjejaskan kepentingan negara di perairan sendiri seperti sektor cari gali minyak dan gas serta perikanan.

“Terdapat jurang ketara antara Malaysia dan negara jiran dalam perbelanjaan keselamatan serta modernisasi aset ketenteraan negara mereka yang tidak berlaku sebarang skandal.

“Indonesia dilaporkan telah membelanjakan sehingga USD125 bilion dalam modernisasi ketenteraan mereka, manakala Thailand USD7 bilion dan Vietnam sebelum ini jauh ketinggalan di belakang Malaysia telah memperuntukkan USD5.5 bilion untuk keselamatan negara.

“Kenapa tidak ikut jejak langkah negara jiran kita dalam menjaga keselamatan rakyat dan negara mereka walhal, perkara berkaitan subsidi minyak, Malaysia selalu mengaitkannya dengan negara jiran tapi dalam isu ini Malaysia ‘membisu’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya