PETALING JAYA: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan yang diselaraskan secara bermusim susut kepada 49.9 mata pada Mei berbanding 51.6 mata yang dicatatkan pada April.
Bacaan melebihi 50 mata menunjukkan pengembangan aktiviti sektor, manakala bacaan di bawah paras itu menandakan penguncupan.
S&P Global berkata, aktiviti sektor pembuatan Malaysia kembali menguncup pada Mei apabila tempahan baharu yang lebih lemah menjejaskan pengeluaran, sekali gus mencerminkan permintaan yang semakin perlahan.
“Penurunan indeks ini mencerminkan kelemahan dalam keadaan permintaan asas, selain kenaikan harga barangan yang dilaporkan oleh syarikat turut menjejaskan pertumbuhan jualan.
“Penurunan indeks utama pada Mei mencerminkan kelemahan dalam keadaan permintaan asas dengan kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini telah memperlahankan pertumbuhan jualan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sebahagian syarikat menambah bilangan pekerja bagi menyokong operasi, namun peningkatan itu diimbangi oleh peletakan jawatan, pemberhentian pekerja serta cabaran mendapatkan tenaga kerja yang sesuai.
“Bagaimanapun, pengeluar barangan di Malaysia kekal optimis terhadap prospek perniagaan mereka dengan jangkaan pengeluaran akan terus berkembang dalam tempoh 12 bulan akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence, Maryam Baluch berkata, hubungan sejarah antara data ekonomi dan PMI menunjukkan pertumbuhan ekonomi dijangka terus sederhana menjelang pertengahan suku kedua tahun ini.
“Prestasi PMI turut memberi petunjuk bahawa momentum pertumbuhan ekonomi negara semakin perlahan selepas permulaan tahun yang lebih mencabar.
“Pada masa sama, tekanan inflasi terus meningkat berikutan konflik geopolitik yang berpanjangan di Asia Barat yang mendorong kenaikan harga pelbagai input termasuk bahan api dan bahan pembungkusan,” katanya. – UTUSAN










