PARIS: Pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka mengukuhkan status sebagai pilihan utama apabila menewaskan Naomi Osaka, untuk mara ke suku akhir Terbuka Perancis, semalam.
Bintang Belarus itu mempamerkan aksi agresif dengan 12 ace sebelum menundukkan Osaka 7-5, 6-3 dalam pertarungan pusingan keempat di gelanggang Roland Garros.
Kemenangan itu menyaksikan Sabalenka mara ke suku akhir kejohanan Grand Slam buat kali ke-14 berturut-turut, sekali gus mengesahkan status sebagai pemain terbaik dunia ketika ini.
Lebih menarik, Sabalenka kini muncul satu-satunya juara Grand Slam yang masih kekal dalam saingan di Paris selepas beberapa nama besar tersingkir di pusingan awal.
“Saya sudah cukup lama berada dalam saingan ini untuk memahami bahawa apa sahaja boleh berlaku di Roland Garros. Sebab itulah saya hanya fokus kepada permainan sendiri,” katanya.
Kejayaan itu turut melengkapkan kemenangan ketiga Sabalenka ke atas Osaka musim ini, sekali gus meneruskan dominasinya ke atas bekas pemain No. 1 dunia tersebut.
Menanti Sabalenka di suku akhir ialah pemain muda Russia, Diana Shnaider dengan misinya memburu gelaran sulung Terbuka Perancis selepas gagal pada musim lalu.
Menurut Sabalenka, fokus utamanya kini hanyalah memastikan setiap perlawanan diharungi dengan komitmen maksimum.
“Pada peringkat ini saya tidak memikirkan perkara lain selain memberikan segala-galanya di gelanggang. Saya sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi trofi ini,” katanya.
Sementara itu, perjalanan Osaka di bumi Paris berakhir dengan catatan terbaiknya setakat mara ke pusingan 16 terbaik.
Pemain Jepun berusia 28 tahun itu mengakui dia kini lebih matang dalam menerima kekalahan berbanding ketika di awal kariernya.-AGENSI










