PETALING JAYA: Ultras Malaya menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak lagi berlengah untuk melaksanakan reformasi menyeluruh susulan cadangan pindaan statut yang dikemukakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Kumpulan penyokong tegar Harimau Malaya itu menyifatkan syor AFC sebagai langkah tepat ke arah memperkukuh tadbir urus bola sepak negara, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada penglibatan pelbagai pihak dalam ekosistem sukan berkenaan.
Menerusi kenyataan di Facebook, Ultras Malaya menegaskan cadangan yang melibatkan 94 daripada 109 artikel statut FAM membuktikan keperluan mendesak untuk melakukan perubahan besar terhadap struktur pentadbiran badan induk itu.
“Lebih 80 peratus artikel asal perlu dipinda. Ini menunjukkan betapa besarnya keperluan untuk reformasi dalam bola sepak Malaysia.
“Saranan AFC ini juga selari dengan tuntutan kami yang mahukan reformasi menyeluruh demi masa depan bola sepak negara.
“Bola kini berada di gelanggang FAM. Laksanakan perubahan yang disyorkan dan pastikan suara rakyat turut berada dalam organisasi bola sepak negara,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John mendedahkan badan induk Asia itu mencadangkan 94 pindaan artikel selepas menjalankan audit terhadap pentadbiran FAM.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan sistem pengurusan bola sepak negara lebih telus, progresif dan memenuhi keperluan semasa.
Antara perubahan utama yang dicadangkan ialah pemansuhan jawatan Timbalan Presiden FAM serta pengurangan kerusi Naib Presiden kepada tiga sahaja.
Lebih menarik, draf statut baharu itu turut membuka peluang kepada kelab Liga Super untuk menjadi ahli gabungan FAM secara automatik dan diberikan hak mengundi dalam kongres, dengan syarat beroperasi sebagai entiti berasingan daripada persatuan bola sepak negeri.
Cadangan itu juga memperluaskan penyertaan pihak berkepentingan lain termasuk wakil Liga Bolasepak Amatur (AFL), Liga Nasional Wanita, Liga Futsal Premier Malaysia, Persatuan Pemain Profesional Malaysia serta Persatuan Pengadil.
Langkah berkenaan dilihat mampu mewujudkan sistem pentadbiran yang lebih inklusif dan demokratik, sekali gus mengurangkan dominasi kelompok tertentu dalam menentukan hala tuju bola sepak negara.
Kongres Luar Biasa FAM yang dijadual berlangsung Khamis ini dijangka menjadi medan penting dalam menentukan sama ada badan induk itu bersedia melakukan perubahan terbesar dalam sejarah pentadbirannya atau sebaliknya.-UTUSAN










