Laporan RCI Wang Kelian didedah: Koordinasi agensi penguatkuasaan lemah, sempadan mudah dibolosi - Utusan Malaysia

Laporan RCI Wang Kelian didedah: Koordinasi agensi penguatkuasaan lemah, sempadan mudah dibolosi

PEMANDANGAN kem pendatang asing tanpa izin (PATI) di Bukit Wang Perah, Wang Kelian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Koordinasi antara agensi penguatkuasaan yang bertugas di sempadan sangat lemah selain sempadan mudah dibolosi antara rumusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, pada 2015.

Laporan RCI setebal 184 muka surat berhubung kes berkenaan didedahkan kepada umum menerusi laman web Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.

Ia memperincikan kronologi penemuan kem, siasatan, kawalan sempadan dan tindak balas pelbagai agensi penguatkuasaan terhadap penemuan kubur besar serta kem transit di Wang Kelian tersebut.

Menurut laporan itu, sempadan darat Malaysia-Thailand antara Wang Kelian hingga ke Bukit Kayu Hitam mudah dibolosi walaupun ada pagar keselamatan, tembok, pos kawalan serta jalan keselamatan di sempadan terbabit.

Kata laporan itu, perkara tersebut disebabkan rondaan tidak mencukupi, pagar kawat duri mudah dipotong, ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) di sempadan Wang Kelian, pagar tidak disenggara dan tiada penduduk di kawasan sempadan Malaysia boleh bertindak sebagai pemberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan.

Selain itu, kata laporan tersebut, CCTV hanya terdapat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di kawasan sempadan tetapi kebanyakannya rosak dan tidak berfungsi.

“Laporan itu menyatakan pagar dan tembok sempadan yang dibina juga tidak menyeluruh yang mana terdapat kawasan sempadan yang terbuka, manakala pagar dan tembok sedia ada tidak disenggara dengan baik.

“Sebahagian besar kawasan sempadan negara masih belum membangun dan kawasan hutan. Keadaan ini memberi ruang kepada penyeludupan sama ada manusia, barangan, haiwan dan tumbuhan. Ini faktor utama menyumbang kepada kejadian di Wang Kelian,” kata laporan tersebut.

Menerusi laporan itu juga, RCI mendapati koordinasi antara agensi penguatkuasaan yang bertugas di kawasan sempadan sangat lemah.

Ia membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksen) dan beberapa lagi agensi.

“Agensi-agensi yang bertugas di kawasan sempadan itu masih berpegang kepada penugasan atau ‘core business’ sendiri dan menyukarkan koordinasi kawalan sempadan yang mantap.

“Peranan pelbagai agensi kawalan sempadan membabitkan beberapa lapisan ini boleh melemahkan tindakan menjaga keselamatan di sempadan terutamanya dengan ketiadaan koordinasi yang efektif,” katanya.

LAPORAN Utusan Malaysia mengenai RCI Wang Kelian.

Menurut laporan itu, sempadan Malaysia-Thailand ketika ini dikawal PGA, PDRM dan ATM mengikut kawasan ditetapkan Jawatankuasa Perancang Gerakan Kebangsaan.

“Anggota yang ditempatkan tidak mencukupi, ditambah kekurangan peralatan dan kelengkapan terutama kenderaan bagi tujuan rondaan. Pagar dan tembok sempadan pula dibina tidak menyeluruh di mana terdapat kawasan sempadan yang terbuka, dan aset tidak diselenggara dengan baik,” katanya.

Tambah laporan itu, penyeludupan dan kematian pendatang asing tanpa izin (PATI) itu boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa mengambil langkah lebih proaktif dalam pengawalan sempadan.

“Ia tidak memerlukan usaha yang gigih untuk mengesan apa yang berlaku di Bukit Wang Burma seperti yang ditunjukkan oleh S1 (Saksi pertama RCI, Koperal Mat Ten iaitu anggota PGA yang menemui kem di Bukit Wang Burma). Apa yang perlu ada dalam kalangan pegawai penguat kuasa ialah sikap dedikasi, komitmen dan daya imaginasi dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Sementara itu, dalam pengurusan kes penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, suruhanjaya itu mendapati terdapat beberapa jabatan dan unit di bawah PDRM yang terbabit pada tahap yang berbeza.

Katanya, terdapat kelemahan dalam koordinasi dalaman PDRM dalam melaksanakan operasi ini yang dapat dilihat melalui gerak kerja dan maklumat disalurkan antara jabatan dan unit mengenai penemuan kem dan kubur terbabit.

“Terdapat kelompongan dalam proses penyaluran dan perkongsian maklumat yang mana tinjauan dilaksanakan beberapa kali sebelum tindakan selanjutnya diambil. Ini dilihat menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Tambah laporan itu, pihak penguat kuasa juga gagal mengambil maklum, menganalisis dan memahami trend kemasukan PATI serta mengambil ringan kemasukan mereka yang berterusan pada skala yang besar sepanjang 2012 sehingga 2015.

“Sewajarnya, trend kemasukan PATI secara besar-besaran dan berterusan ini mencetus amaran dan menjadi petanda kepada agensi penguatkuasaan di peringkat negeri dan kebangsaan. Perkara ini juga sepatutnya dibangkitkan di peringkat pembuat dasar,” kata laporan itu.

Turut dibangkitkan dalam laporan tersebut mengenai tindakan pihak berwajib yang tidak mengambil tindakan susulan segera bagi menyiasat tempat kejadian agar sebarang bahan bukti terpelihara dan tidak diganggu.

Utusan Malaysia pada 3 Ogos lalu melaporkan persoalan mengenai laporan RCI berkenaan yang dikatakan telah siap bagaimanapun terus kekal menjadi tanda-tanya apabila belum pernah didedahkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.