PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menambah kategori kumpulan individu yang dibenarkan mengundi secara pos dari semasa ke semasa melalui pewartaan di bawah peraturan suruhanjaya itu.
Keputusan itu sekali gus membolehkan 6,007,979 pengundi muda berusia 18-29 tahun mewakili 28.37 peratus jumlah pemilih berdaftar yang sebahagian besarnya adalah pelajar, menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kali pertama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, undi pos sudah mempunyai tadbir urus yang tersendiri melalui Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Ia adalah satu peraturan yang diberikan kuasa di bawah Seksyen 16 Akta Pilihan Raya, 1958 [Akta 19] kepada SPR dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Jika kita lihat dalam senarai sedia ada, pelajar sepenuh masa dan pasangannya yang belajar di luar negara boleh mengundi secara pos dengan syarat mereka hendaklah sudah mendaftar sebagai pengundi tidak hadir.
“Kuasa yang sama boleh diberikan kepada SPR jika pelajar yang menuntut di Malaysia, ingin dibenarkan mengundi secara pos.
“SPR mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk mengkaji polisi mereka yang layak dikategorikan dalam senarai pemilih pos dan keputusan itu boleh dilaksanakan serta merta bagi PRU15 ini jika SPR berpandangan itu wajar dan proses berkaitan dapat diadakan mengikut jadual,” katanya di sini semalam.
Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 mengubah syarat umur pemilih yang layak diturunkan kepada 18 daripada 21 tahun dan pendaftaran pemilih dibuat secara automatik.
Bagaimanapun, hasrat untuk melihat lebih ramai rakyat mengundi tidak tercapai kerana kekangan kos perbelanjaan untuk pulang mengundi di negeri masing-masing terutama golongan pelajar.
Menurut peraturan SPR sedia ada, setiap pengundi berdaftar harus hadir dan mengundi secara kendiri di pusat mengundi ditetapkan SPR, melainkan pengundi yang diklasifikasikan sebagai Pengundi Tidak Hadir seperti ditakrifkan dalam Peraturan 2 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Pada masa ini, golongan yang dibolehkan melaksanakan undi pos adalah anggota tentera dan pasangan; Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasangan serta Pasukan Gerakan Am (PGA) yang tidak dapat hadir semasa Hari Mengundi Awal kerana bertugas termasuk petugas media, petugas pilihan raya.
Selain itu ialah bagi kategori pengundi pos luar negara iaitu warganegara Malaysia di luar negara; pelajar dan pasangan di luar negara yang didaftarkan sebagai Pengundi Tidak Hadir Luar Negara serta penjawat awam di luar negara dan pasangan.
SPR sebelum ini pernah menambah kategori tambahan pengundi pos iaitu dalam kalangan anggota dan pegawai sembilan agensi kerajaan melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 23 Oktober 2017.
Mingguan Malaysia kelmarin melaporkan sebahagian besar daripada 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara mungkin terlepas peluang mengundi buat pertama kali dalam pilihan raya umum (PRU) disebabkan memerlukan belanja besar untuk pulang.
Keadaan itu lebih dirasai pelajar yang berada jauh dari kampung terutama berasal dari Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung atau sebaliknya, serta mereka yang mengundi di Johor tetapi belajar di Pantai Timur atau utara tanah air.
Menurut Wan Ahmad Fauzi, setiap warganegara yang layak berhak memilih calon pada pilihan raya bagi membawa suara dan aspirasi mereka ke dalam proses penggubalan undang-undang sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan hak itu termaktub dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pendaftaran pemilih sebagai pengundi secara automatik dan Undi 18 sudah diluluskan Parlimen bagi memudahkan rakyat sejajar dengan tanggungjawab yang dinyatakan dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Sejajar dengan itu, beliau berkata, SPR boleh menimbangkan untuk menambahkan kategori pelajar berusia 18 tahun dan ke atas yang sedang menuntut dalam negara dalam senarai pemilih pos yang layak dan mewartakannya di bawah Peraturan 3(1)(e).
“Jika pelajar universiti itu sudah termasuk dalam pengundi tidak hadir, maka mereka boleh mengundi di tempat yang ditetapkan SPR mengikut kaedah di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003,” kata Wan Ahmad Fauzi. – UTUSAN










