Krisis bekalan telur bulan depan?

Krisis bekalan telur bulan depan?

MASALAH kekurangan bekalan telur berpunca daripada isu subsidi dan kos pengeluaran yang meningkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara dijang­ka berdepan krisis telur ayam menjelang bulan November dan Disember nanti berikutan bekalan semasa sumber protein itu kini menyusut antara 20 hingga 25 peratus daripada ke­perluan 30 juta biji sehari sejak dua bulan lalu.

Berdasarkan maklumat pemain-pemain gergasi industri pengeluaran telur, jika tidak ditangani segera, kekurangan bekalan boleh mencecah sehingga 40 peratus dan pengguna akan sukar mendapatkan telur sehingga tempoh sebulan.

Sumber industri mendedahkan kepada Utusan Malaysia, rakyat memerlukan kira-kira 30 juta biji telur sehari atau satu bilion biji sebulan di seluruh negara.

MEROSOT

Menurut beliau, jika bekalan telur merosot 40 peratus atau hanya 600,000 biji sahaja berada dalam pasaran dalam tempoh dua bulan terakhir itu, ia akan memberi kesan buruk kepada hampir seluruh rantaian sektor makanan dan isi rumah.

“Dalam musim perayaan, bia­sanya permintaan naik mendadak, namun jika berlaku kekurangan bekalan telur, ia bukan saja meningkatkan harga produk itu tetapi juga harga produk lain yang ada kaitan dengan telur ayam,” katanya.

Sumber itu berkata, punca krisis berlaku kerana ekosistem industri telur ayam negara sekarang ini dikawal oleh lima syarikat pengeluar induk ayam penelur utama dan mereka kini berdepan kekurangan induk ayam penelur.

Katanya, kelima-lima syarikat pengeluar induk ayam penelur ini mengedarkan anak ayam kepada 260 ladang telur yang beroperasi seluruh negara.

Sumber berkata, masalah mula timbul sejak beberapa bulan lalu apabila majoriti ladang ayam telur mengadu kos pengeluaran telur terlalu tinggi dan sistem kawalan harga kerajaan yang terlalu ketat selain masalah subsidi tiga sen yang terlalu rendah.

“Kenapa bekalan telur sekarang kurang? Sebab ayam yang nak keluarkan telur itu kurang. Di Malaysia, hanya ada lima syarikat besar yang mengeluarkan stok ayam penelur di seluruh negara.

SUBSIDI

“Subsidi pula asalnya dicadangkan enam sen tetapi yang diluluskan kerajaan cuma tiga sen. Jadi, kurang lagi tiga sen. Maka sebab itulah penternak-penternak ayam telur marah, kenapa subsidi itu sikit?” soalnya.

Dalam pada itu, sumber berkata penternak ayam telur sekarang mengalami kerugian akibat skim kawalan harga kerajaan.

“Mereka rugi sebab harga dikawal kerajaan dan harga kawalan itu terlalu rendah dan tidak dapat ditampung dengan subsidi. Sebab itu mereka minta subsidi ini dinaikkan lagi sedikit, naik lagi dua ke tiga sen,” katanya.

Dalam pada itu, setakat ini sumber menafikan penternak sengaja mengurangkan bekalan telur sebagai langkah memeras dan mensabotaj kerajaan, namun menggesa sesi libat urus rentas kementerian dilakukan secara konsisten bagi mencari jalan penyelesaian terhadap krisis tersebut.

“Kekurangan telur ini bukan sebab sabotaj atau tidak. Apabila penternak mengalami kerugian, maka mereka mengurangkan populasi ayam.

“Contoh macam ayam telur ini, tempoh pemeliharaannya sampai 70 minggu. Tapi bila mereka (penternak ayam telur) dah tanggung banyak kerugian, jadi mereka ‘pencenkan’ awal ayam-ayam telur itu. Maknanya 55 minggu ke 60 minggu itu mereka dah hentikan pengeluaran, sebab tak mahu tanggung kerugian.

“Sebab dalam tempoh 50 minggu ke atas, peratus pengeluaran telur itu memang menurun. Ayam telur ini mula bertelur pada umur empat bulan, lebih kurang 16 minggu. Bertelur sampai umur 70 minggu. Pengeluaran telur itu makin kurang sedangkan, makanan yang diberikan sama banyak. Jadi mereka hentikan awal-awal sebab dah rugi. Itulah senario­nya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×