MUAR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengecam tindakan pihak yang menggunakan politik gangsterisme melakukan provokasi sewaktu program parti itu berlangsung di Dewan Yong Sheng, Jalan Bakri, malam tadi.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sekiranya ada pihak yang tidak suka dengan kehadiran mereka dan mahu berentap, ia tidak seharusnya melibatkan perbuatan kekerasan.
“Saya tolak sekeras-kerasnya provokasi dan juga politik gangsterisme. Kalau tak suka dan nak lawan, kita lawan melalui politik dasar dan khidmat.
“Kalau macam ni, takda guna. Masalah-masalah rakyat takkan selesai,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.
Semalam, program Malam Mesra Muo anjuran Muda dicemari insiden provokasi oleh kira-kira 30 lelaki yang memakai hoodie dan pelitup muka membuat kacau di lokasi tersebut.
Kumpulan tersebut turut bertindak agresif dengan membaling botol, menolak sukarelawan dan anggota Muda, membaling mercun, menendang dan merosakkan kenderaan.
Insiden itu adalah kejadian provokasi kedua terhadap parti Muda dalam tempoh seminggu setelah ceramah Mega Muar di Parit Jawa turut dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki bermotosikal, Ahad lalu.
Syed Saddiq yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar berkata, aktiviti pada malam Sabtu hanya program makan malam dan tidak lebih daripada itu.
“Saya adakan majlis makan malam sahaja. Kenapa perlu ada provokasi lagi? Bukan saya buat apa-apa pun.
“Bila ahli Muda tanya, datang dari mana? Mereka (kumpulan individu berkenaan) mula menganas, baling botol, baling mercun dan rosakkan kereta tetamu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner, Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan insiden provokasi semasa Program Ceramah Malam Mesra Muo diadakan.
Kekecohan yang berlaku pada pukul 9.35 malam dipercayai bermula apabila tetamu di dalam dewan keluar dan bersemuka dengan kumpulan yang berada di luar.
“Polis Daerah Muar akan menjalankan siasatan di bawah mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa termasuk di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 terhadap insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak berasas menerusi mana-mana platform komunikasi dan media sosial. – UTUSAN










