BALING: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dilibas pedang serta disembur sejenis bahan oleh empat penjenayah dalam kejadian samun sebuah kedai runcit di Kampung Kuala Lesung, Kuala Ketil, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 8.45 malam.
Katanya, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an didatangi empat suspek lelaki yang menaiki sebuah kereta Perodua Bezza berwarna putih.
“Keempat-empat suspek memakai topi keledar, topeng muka, jaket dan sarung tangan ketika melakukan samun terhadap mangsa, selain salah seorang suspek memegang sebilah pedang dan melibas ke arah mangsa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian belakang badan dan menerima rawatan di Hospital Baling selain kerugian sejumlah wang tunai akibat kejadian samun itu.
Tambahnya, polis sedang giat mengesan semua suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Sejak semalam, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian tular di media sosial melibatkan empat lelaki meluru ke kaunter bayaran sebelum salah seorang daripada mereka melibas mangsa dengan sebilah pedang.
Seorang lagi suspek dilihat menyembur sejenis bahan ke arah mangsa sebelum kesemua mereka melarikan barangan berharga. – UTUSAN







