Penganggur warga Indonesia dituduh bunuh juruteknik - Utusan Malaysia

Penganggur warga Indonesia dituduh bunuh juruteknik

SEORANG lelaki warganegara Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh seorang juruteknik lelaki di sebuah pangsapuri sekitar bandar raya ini, bulan lalu. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warganegara Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang juruteknik lelaki di sebuah pangsapuri di daerah ini, bulan lalu.

Tertuduh, Fajar Ali, 29, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat telah melakukan pembunuhan ke atas mangsa, Mohammad Sallehen Mohd. Safri, 33 di Prima Tebrau Residensi, Jalan Dato’ Sulaiman, di sini antara pukul 7 hingga 8.45 pagi, pada 12 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman manakala tertuduh yang tidak bekerja tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Pada 13 Mei lalu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Assisten Komisioner Raub Selamat melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditemui maut dalam keadaan terbaring berlumuran darah pada pukul 10.50 malam di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan sebilah pisau di sisi mangsa dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN