KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Ziana Zain tidak menyangka kehidupannya kembali dihiasi pelbagai khabar gembira dan rezeki yang mencurah-curah dalam kerjaya seni selepas melalui detik kehilangan kedua-dua ibu bapanya.
Menurut Ziana, biarpun bersyukur dengan segala kejayaan yang dikecapi sepanjang tahun ini, tiada satu pun pencapaian atau anugerah mampu menggantikan tempat kedua-dua insan tersayang itu dalam hidupnya.
“Sangat-sangat tidak sangka. Saya kata, ‘Ya Allah, Tuhanku.’ Selepas Allah mengambil kedua-dua ibu bapa saya, tahun ini Allah memberikan pula rezeki yang baik.
“Ibu bapa adalah perkara paling berharga dalam hidup. Tiada gantinya. Platinum, silver, lapan kali double platinum sekalipun tidak akan dapat menggantikan mereka.
“Apabila Allah ambil, kita terus tersentap, terduduk dan termenung. Selepas itu, Allah gantikan dengan perkara yang baik,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert A Night of Soul, pada Selasa.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Madah Berhelah itu mengakui kehilangan kedua-dua ibu bapanya meninggalkan kesan mendalam, namun memilih untuk reda dan percaya setiap ujian yang dilalui mempunyai hikmah tersendiri.
“Saya selalu cakap, ‘Ya Allah, sakitnya. Tetapi kalau Engkau mahu memberikan aku yang terbaik, aku tunggu.’
“Memang betul, tetapi saya tidak kesal. Bagi saya, rezeki ini sudah Allah aturkan. Pada usia berapa, hari apa dan saat bila, semuanya sudah ditentukan. Saya reda.
“Kalau dengan izin Allah, ibu bapa dapat kembali ke rumah untuk melihat kita, mereka dapat melihat kejayaan kita. Itu sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ziana turut meluahkan rasa syukur apabila terus menerima pelbagai tawaran persembahan, termasuk undangan menjayakan beberapa konsert sepanjang Disember ini.
Kata Ziana, kesibukan tersebut merupakan rezeki yang tidak pernah dijangka, sekali gus mendorongnya untuk terus menjaga stamina dan kualiti vokal agar dapat memberikan persembahan terbaik kepada peminat.
“Saya pun tidak sangka, ya Allah, rezeki saya. Bulan Disember ini banyak pula konsert. Selepas Elegant, ada pula konsert lain. Kita kena banyak berehat, berlatih dan menjaga stamina. Peluang bukan selalu datang. Rebutlah peluang selagi kita masih mampu,” ujarnya.
Pada 12 Disember ini, Ziana bersama Datuk Amy Search, Siti Nordiana dan Khai Bahar bakal berkongsi pentas dengan penyanyi Indonesia, Cakra Khan di konsert A Night of Soul yang akan diadakan di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC).











