HARRISBURG: Seorang lelaki di Pennsylvania bertindak merobohkan kediaman keluarganya menggunakan sebuah jengkaut selepas berang dengan tindakan isterinya memfailkan perceraian ketika wanita itu serta dua anak perempuan mereka masih berada di dalam rumah tersebut.
Menurut laporan media, tindakan melampau lelaki itu berlaku di daerah Butler, Pennsylvania selepas dipercayai menghabiskan malam dengan minum arak.
“Lelaki berusia 48 tahun itu, dikenali sebagai Eric Pierwsza didakwa memberitahu isterinya, ‘Jika semuanya sudah berakhir, saya akan robohkan rumah ini’ sebelum memanjat sebuah jengkaut dan mula merobohkan kediaman berkenaan.
“Bunyi runtuhan jelas kedengaran dalam panggilan kecemasan 911 dibuat isterinya yang ketika itu masih berada di dalam rumah bersama dua anak perempuan mereka.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” lapor CBS News.
Selepas memusnahkan bahagian belakang kediaman itu, Pierwsza didakwa masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil beg gim sebelum meninggalkan lokasi berkenaan menuju ke bandar, di mana dia kemudian ditahan polis.
Dia kini berdepan beberapa pertuduhan termasuk menyebabkan bencana, membahayakan keselamatan secara melulu dan berkelakuan tidak senonoh.
Walaupun kerosakan dilihat masih boleh dibaiki, penyiasat memberitahu pemberita kemusnahan pada struktur asasnya terlalu serius sehingga keseluruhan rumah berkemungkinan besar perlu dirobohkan atas faktor keselamatan.










