Johor peruntuk RM66 juta, perkasa sektor kesihatan awam negeri sepanjang empat tahun - Utusan Malaysia

Johor peruntuk RM66 juta, perkasa sektor kesihatan awam negeri sepanjang empat tahun

HAFIZ Ghazi menyampaikan anugerah Jururawat Inspirasi kepada Norazilawati Abu Bakar (kanan) sempena Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Negeri Johor 2026 di Hotel Sunway Big, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri telah membelanjakan lebih daripada RM66 juta sepanjang tempoh empat tahun penggal pentadbirannya, walaupun sektor kesihatan awam merupakan tanggungjawab kerajaan pusat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif tersebut dibuat kerana sektor berkenaan melibatkan kesihatan dan nyawa kira-kira empat juta rakyat negeri ini.

“Kita tidak mahu salahkan mana-mana pihak, tetapi kita maklum ada kekangan birokrasi dan lain-lain. Jika ikut cara lama kerajaan negeri tidak perlu keluarkan duit lebih daripada RM66 juta untuk Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

“Tetapi ini melibatkan nyawa empat juta rakyat di negeri ini, tidak mungkin kita boleh tutup mata dan pekakkan telinga. Sebab itu saya tidak pernah rasa takut untuk turun ke lapangan bagi memperkasa JKNJ. Saya akan terus beri perhatian kepada sektor kesihatan awam negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor di Hotel Sunway Big Box, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut.

Tambah Onn Hafiz, pihaknya akan terus membantu mencari penyelesaian terhadap masalah utama yang dihadapi sektor kesihatan negeri ini iaitu kekosongan perjawatan melibatkan sektor berkenaan di negeri ini.

“Di Johor, kita tahu ada kekurangan jururawat dan doktor, sama-sama kita cari kaedah terbaik untuk memastikan agar kekosongan ini dapat diisi pada kadar segara,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengumumkan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada jururawat-jururawat seluruh Johor, manakala RM100,000 kepada pembantu perubatan di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon pula memberitahu, antara bantuan disalurkan kerajaan negeri terhadap sektor kesihatan awam negeri ini termasuklah melibatkan perkakas kesihatan dan infrastruktur bukan kesihatan.

“Dalam tempoh empat tahun ini, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM66 juta untuk membaiki dan menaik taraf fasiliti, tandas, surau, peralatan dan perkakas perubatan serta bukan perubatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN