Kerajaan tidak boleh berterusan buat hutang

Kerajaan tidak boleh berterusan buat hutang

Kerajaan perlu mencari alternatif jangka panjang panjang bagi menyelesaikan hutang lama, bukan menggunakan hutang baharu untuk menampung hutang sedia ada. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mencari penyelesaian jangka panjang bagi menyelesaikan hutang lama, bukan menggunakan hutang baharu untuk menampung hutang yang ada.

Ini kerana menurut Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid, hutang baharu itu sepatutnya digunakan bagi tujuan perbelanjaan pembangunan.

Jika tidak katanya, hutang negara akan terus meningkat seperti yang berlaku ketika ini apabila hutang Kerajaan Persekutuan pada 2021 bertambah RM100 bilion iaitu RM979.814 (63.4%)  daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding RM879.560 bilion pada 2020.

Jelasnya, peningkatan itu menyebabkan liabiliti keseluruhan kerajaan pada 2021 kini berjumlah RM1.298 trilion iaitu 84 peratus daripada KDNK negara.

“Walaupun penyata kewangan kerajaan tahun 2021 itu diberikan Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran, terdapat perkara ditegaskan Ketua Audit Negara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

“Antaranya, penegasan perkara termasuk bayaran balik pinjaman matang menggunakan pinjaman baharu, pengurangan peratusan perbelanjaan pembangunan, peningkatan hutang persekutuan dan pengiktirafan berbeza dengan prinsip pengiktirafan hasil asas tunai ubah suai,” katanya dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh di Parlimen, semalam.

Berhubung agihan terimaan pinjaman kasar RM217.201 bilion, kerajaan telah membuat pinjaman kasar berjumlah RM217.201 bilion pada 2021, dimana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 11.6 peratus daripada RM194.55 bilion pada 2020.

“Sebanyak 52.4 peratus atau RM113.764 bilion digunakan untuk bayaran prinsipal pinjaman matang.

“Sementara pinjaman kasar yang dipindah ke kumpulan Wang Pembangunan adalah sebanyak RM62.317 bilion, bersamaan 28.7 peratus daripada jumlah pinjman. Manakala pindahan ke Kumpulan Wang Covid adalah sebanyak RM38 bilion atau 17.5 peratus,” ujarnya.

Bagi peratusan perbelanjaan pembangunan, daripada jumlah RM62.317 bilion yang dipinda ke Kumpulan Wang Pembangunan, hanya RM40.994 bilion digunakan untuk tujuan perbelanjaan pembangunan, berbanding RM37.530 pada 2020.

Sejumlah RM12.612 bilion pula digunakan untuk tujuan menanggung liabiliti PFI dan komitment Jaminan, dan RM8.711 bilion digunakan untuk tujuan Pengelasan Belanja Mengurus kepada pembangunan.

Menurut Kah Woh berhubung isu pembayaran faedah pinjaman, 16.3 peratus daripada kutipan hasil digunakan untuk tujuan tersebut.

“Maksudnya RM1 hasil yang dikutip, maka 16 sen adalah digunakan untuk bayaran faedah pinjaman.

“Sehubungan itu, PAC terus komited memainkan peranan semak imbang terhadap cabang eksekutif dalam pengurusan kewangan dan perolehan bagi memastikan ia mematuhi prosedur serta tatacara yang ditetapkan seperti yang diperuntukkan dalam sistem demokrasi raja berpelembagaan di negara ini,” katanya lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN