Kelakuan tidak senonoh di dalam surau - Utusan Malaysia

Kelakuan tidak senonoh di dalam surau

SEDUTAN rakaman video perbuatan dua lelaki (duduk di bahagian hujung saf) yang melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah surau di Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Dua lelaki disyaki warga tempatan melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam sebuah surau di daerah ini, beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor@Saleh berkata, pihaknya mengetahui perkara tersebut setelah perbuatan dua suspek itu dirakam dan dimuat naik dalam media sosial.

“Pada 26 Oktober lalu, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan yang merupakan bilal surau itu. 

“Bilal surau itu mengatakan bahawa dia telah melihat perbuatan dua suspek berkenaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di surau terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam video yang berdurasi 109 saat itu, dua suspek tersebut melakukan perbuatan sumbang di bahagian saf.

Mereka langsung tiada perasaan malu meskipun terdapat seorang lelaki sedang menunaikan solat di hadapan mereka.

Ahmad Ridhwan berkata, polis sedang giat memburu dua suspek itu dengan kes disiasat di bawah Seksyen 337D Kanun Keseksaan (KK) iaitu melakukan perbuatan lucah melampau di tempat awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Norhidayah Mohd. di talian 0174055363,” katanya.

Dalam kes berbeza pula, Ahmad Ridhwan memaklumkan bahawa pihak polis sudah mengenal pasti kesemua suspek bagi satu kes pergaduhan, yang tular di media sosial dua hari lalu.

Menurutnya, pergaduhan tersebut berlaku dengan mangsa serta kawan-kawannya dalam keadaan mabuk pada Selasa lalu, kira-kira pukul 2 pagi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324/160 iaitu bergaduh di tempat awam. Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di dahi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.