PETALING JAYA: Pelakon Catriona Ross mengakui anak autisme yang dikurniakan kepadanya bukan sahaja menjadi penyeri kehidupan, malah banyak mengajar dirinya tentang erti kesabaran sepanjang bergelar seorang ibu.
Catriona atau Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 46, berkata, anak lelakinya itu merupakan insan luar biasa yang secara tidak langsung menjadi guru terbaik dalam kehidupannya.
“Tuhan anugerahkan seorang anak yang luar biasa dan tanpa sedar, dia juga menjadi guru terbaik dalam hidup saya. Melalui dia, saya belajar erti kesabaran, kebaikan, kekuatan dan kasih sayang tanpa batas.
“Setiap hari ada pelajaran baharu yang saya pelajari. Setiap hari juga dia menjadikan saya seorang manusia yang lebih baik daripada semalam,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Tambah pelakon berdarah kacukan Scotland itu, dia sangat bersyukur memiliki anak lelakinya itu dan menganggap pemberian itu adalah anugerah yang paling bermakna buatnya.
“Selamanya saya bersyukur menjadi ibu kepada kamu. Kamu adalah anugerah yang sangat bermakna dalam hidup saya,” katanya.
Terdahulu, Catriona telah mendirikan rumah tangga bersama Shaharuddin pada 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sephia Rania, Jamal Raess, dan Edruce Riyadh.
Namun begitu, Jammal Raess telah disahkan autisme nonverbal iaitu tidak boleh bercakap lebih daripada beberapa perkataan oleh pakar pada usia dua tahun.










