KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli dicabar untuk memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menguji kekuatan Parti Kancil beliau sekiranya percaya rakyat mahukan politik baharu yang dilaungkannya.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, pentas PRN kali ini amat sesuai dan beliau tidak boleh sekadar pandai berucap di pentas, tetapi takut menguji sokongan sebenar di peti undi.
Katanya, rakyat Johor bukan makmal eksperimen politik untuk menjual retorik dan formula yang indah di atas kertas.
“Jika benar Parti Kancil mendapat sambutan luar biasa seperti yang didakwa, inilah masanya untuk membuktikan kekuatan itu secara demokratik, bukan sekadar bermain persepsi di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzul Hilmi berkata, sudah terlalu lama Rafizi membina naratif bahawa beliau memiliki jawapan kepada segala masalah negara.
Katanya, kini apabila beliau memilih meninggalkan PKR dan menyertai Parti Bersama, rakyat berhak melihat sama ada sokongan itu benar-benar wujud atau hanya sekadar gema dalam kelompok penyokong sendiri.
“Kalau berani bercakap soal reformasi dan perubahan, beranilah juga berdepan dengan penghakiman rakyat.
“Jangan jadi jaguh di sidang media tetapi hilang keberanian apabila tiba masa untuk mendapatkan mandat rakyat.
“Kini DUN Johor sudah terbubar. Masuk gelanggang dan ertanding. Buktikan kepada rakyat bahawa Parti Kancil bukan sekadar cerita dongeng, tetapi benar-benar mempunyai taring politik yang mampu diterjemahkan kepada undi,” katanya. – UTUSAN









