‘Kami sedia tunai tanggungjawab mengundi'

‘Kami sedia tunai tanggungjawab mengundi’

RATA-RATA pengundi muda sudah bersedia memainkan peranan dan tanggungjawab besar sebagai rakyat Malaysia pada PRU15, 19 November ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun pertama kali diperkenalkan, kesedaran anak muda khususnya belia berusia 18 tahun untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berada pada tahap yang tinggi.

Rata-rata golongan itu yang ditemui Utusan Malaysia berkata, mereka sudah bersedia memainkan peranan dan tanggungjawab besar sebagai rakyat Malaysia pada PRU15, 19 November ini. 

Pelajar Diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Mohd. Akid Anaqi Zulkefli, 18, berkata, perasaannya bercampur-baur antara gementar, cemas dan tidak kurang juga teruja kerana ini kali pertama keluar mengundi. 

“Saya sedar tanggungjawab besar dipikul selain ini juga adalah satu keputusan yang menentukan pembentukan dan corak kerajaan negara kita pada masa hadapan.

“Bagi saya, setiap anak muda perlu mengambil kisah tentang hal-hal yang berkaitan masa hadapan negara, walaupun sedikit kerana ini bukan sahaja memberi kesan kepada negara, tetapi kesan kepada kita juga sebagai rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, satu kempen yang melayakkan golongan muda berumur 18 tahun untuk mengundi diluluskan setelah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperoleh sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen iaitu lebih dari dua pertiga persetujuan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas dua kali undian dilakukan.

Seramai 21,173,638 individu berdaftar sebagai pemilih pada PRU15 dan daripada jumlah itu, seramai 1,393,549 pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun dilaporkan layak mengundi.

Sementara itu, pelajar Taylor’s University Lakeside Campus, Siti Fatimah Az Zahra Mohamad Ziyad, 18, berkata, dia sudah bersedia mengundi kerana satu kewajiban yang dirinya perlu dipenuhi demi negara dan untuk masa depan terbaik. 

“Sudah tentu saya cakna dan mengambil tahu tentang tanggungjawab mengundi. Saya teruja untuk pergi mengundi kelak. Saya sedar betapa pentingnya tanggungjawab dan peranan saya sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.

Seorang pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheneh Terengganu, Nur Athierah A. Bakar, 18, pula berkata, dia sudah tidak sabar kerana ini kali pertama boleh mengundi. 

“Saya tidak sabar melalui proses-proses pengundian yang sebelum ini hanya dilihat melalui kaca televisyen. Ini akan menjadi satu pengalaman yang bermakna buat saya,” katanya.

Dia berharap ramai pengundi muda melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia dan tidak mengambil hal yang penting dan besar itu sebagai remeh dan rumit. 

Sementara itu, pelajar University College of Yayasan Pahang (UCYP), Luqman Hakim Zaidi, 19, berkata, walaupun tidak minat politik, dia sentiasa mengambil tahu tentang PRU15 serta kepentingannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya