JPJeBID kutip RM286 juta

JPJeBID kutip RM286 juta

ZAILANI Hashim menandatangani plak Pelancaran Kaunter Pandu Lalu JPJ Pulau Pinang di Butterworth, hari ini. - FOTO/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatatkan pendapatan RM286 juta hasil kutipan bidaan melalui JPJeBid dalam tempoh kurang 10 bulan tahun ini.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim, inisiatif pembidaan nombor pendaftaran kenderaan itu memudahkan kedua-dua belah pihak berurusan dalam talian.

“Sehingga Oktober ini, sebanyak 124 siri nombor pendaftaran telah diperkenalkan melalui sistem e-bid dengan purata keuntungan sebanyak RM2.3 juta bagi setiap siri.

“Sistem ini menjadi pemudah cara buat pengguna untuk membida nombor-nombor yang disukai secara telus dan efektif.

“Jika dahulu, orang Pulau Pinang tidak boleh bida nombor plat luar, tetapi sekarang boleh bida nombor mana-mana negeri termasuk Sarawak sekali pun secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Amanat Khas dan Pelancaran Kaunter Pandu lalu JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Sehingga kini, seramai 940,000 individu telah melayari JPJeBid dan diyakini akan terus meningkat susulan sistem yang mesra pengguna.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kaunter pandu lalu yang diperkenalkan pihaknya juga memudahkan urusan pelanggan menerusi tempoh transaksi singkat.

Katanya, pelanggan boleh memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM); lesen memandu Malaysia (LLM); pertukaran lesen memandu percubaan (PDL) ke lesen memandu Malaysia (CDL) dan pembayaran saman terkini menerusi transaksi kurang dari lima minit.

“Kita akan luaskan perkhidmatan ini ke Perak, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

“Bagi perkhidmatan terbaharu pula, kita akan sediakan 100 unit kios yang mesra golongan orang kurang upaya (OKU) dan akan ditempatkan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya