KOTA TINGGI: “Hati saya tenteram bila dapat tahu jenazah anak dalam keadaan sempurna.”
Itu luahan bapa Allahyarham Nurul Nazihah, 28, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Sedenak di sini malam tadi.
Kamalul Arifin Ahmad, 66, berkata, dia menerima maklumat tentang kemalangan itu kira-kira pukul 8 malam namun pada awalnya tidak tahu anaknya terbakar dalam kejadian itu.
“Saya ada tengok video viral berkenaan kemalangan itu. Sebelum tengok itu perasaan luluh tak dapat digambarkan bagaimana keadaan orang yang terbakar dalam kebakaran. Namun kakak arwah yang berada di hospital memberitahu badan, jasad arwah tidak terkupas akibat api yang membakar.
“Mayatnya sempurna duduk di kerusi kereta, itu maklumat diperoleh dari polis. Mungkin itu semua kerana amalannya ketika hidup,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Lukut, Kota Tinggi hari ini.
Bapa kepada lima orang anak itu berkata, dia baru pulang dari mengerjakan umrah bersama arwah minggu lepas.
Katanya, arwah anak keempat dalam keluarga seorang yang sangat tegas dalam bab agama.
“Saya memang sudah lama hendak pergi menunaikan umrah ketika usia 50 tahun namun ketika itu ada komitmen terhadap anak-anak. Perjalanan umrah kami ini dirancang oleh isteri dan arwah kira-kira empat bulan lepas. Arwah tahu saya memang sudah lama hendak pergi umrah. Arwah juga ada menambah duit untuk kos umrah saya dan isteri. Kami pergi berempat saya, arwah, suami arwah dan isteri.
“Arwah juga sempat membeli buah zuriat di Makkah. Sejak berkahwin tiga tahun lalu arwah dan suami belum dikurniakan rezeki cahaya mata,” katanya.
Sementara itu, sepupu mangsa, Nur Izzah Atikah Jamaludin, 28, berkata, suami mangsa masih berada dalam keadaan trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga mengigau menyebut nama isterinya malam tadi.
“Kami sepupu rapat sejak kecil lagi, jadi mangsa memang ceritakan semuanya kepada saya apa berlaku. Menurut suaminya ketika kejadian arwah tidak dapat selamatkan diri kerana tersepit. Namun suaminya tetap berusaha menyelamatkan arwah. Ekoran keadaan api yang semakin marak arwah meminta suaminya keluar menyelamatkan diri.
“Suaminya diselamatkan orang ramai dengan keluar melalui pintu belakang kereta dan alami melecur di muka. Mereka pasangan suami isteri yang sangat kelakar, memang ralat bila dapat tahu kejadian yang menimpa arwah,” katanya.
Terdahulu, dua orang dilaporkan maut manakala empat yang lain selamat dalam kemalangan empat kenderaan yang membabitkan sebuah lori Isuzu dan tiga kereta iaitu Proton Wira, Toyota Vios dan Proton Preve. – UTUSAN