Empat konsesi lebuh raya distruktur, kurangkan kadar tol - PM

Empat konsesi lebuh raya distruktur, kurangkan kadar tol – PM

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) menandatangani plak perasmian sewaktu merasmikan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam, Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan bersetuju menstruktur semula empat syarikat konsesi lebuh raya di bawah kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) bagi mengurangkan kadar tol di lebuh raya itu berkuat kuasa 20 Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

“Inisiatif itu membuktikan keprihatinan kerajaan mengenai masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup. Ia akan berkuatkuasa sepenuhnya pada pukul 12.01 tengah malam 20 Oktober depan,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap merasmikan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam di sini, hari ini. Yang turut hadir, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Jelas Ismail Sabri, pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya Lebuh Raya Kajang Seremban (LEKAS) dan Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA) di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan.

Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah bagi menangani masalah kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong.

“Selain itu, kerja tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) akan dilaksanakan susulan kejadian banjir yang kerap berlaku. 

“Kesemua kerja penambahbaikan yang dimaklumkan mengambilkira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, penstrukturan terbaharu itu membolehkan kerajaan menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi terlibat. 

“Pengguna lebuh raya bakal pula dapat menikmati kadar tol lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Lebuhraya DASH sejauh 20.1 kilometer (km) dari Puncak Perdana di sini, ke Penchala akan dibuka kepada umum bermula tengah malam ini dengan tol percuma selama sebulan.

“Lebuh raya yang mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap 30 September lalu itu mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas seperti di sepanjang Persiaran Mokthar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sehingga 40 peratus ketika waktu puncak.

“Tempoh perjalanan juga dapat dijimatkan kepada 30 minit pada waktu dari Persimpangan Puncak Perdana ke Persimpangan Penchala berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa lebih sejam,” katanya.

Tambah beliau, Lebuhraya DASH merupakan laluan alternatif kepada pengguna di sebelah barat Shah Alam untuk melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan  kesesakan, tempoh perjalanan dan menyuraikan trafik secara lebih berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.