PETALING JAYA: Dua orang maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang di Jalan Cheras, berhampiran Taman Mutiara Barat, dekat sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pada 6.42 pagi berkaitan kejadian tersebut.
Komander operasi, Mohd. Ridzuan Ahmad berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras ke tempat kejadian.
Katanya, anggota bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna terbabas dan melanggar tiang jalan.
“Kita mendapati lima mangsa lelaki tersepit. Mangsa yang maut adalah penumpang di tempat duduk hadapan dan belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tiga lagi mangsa terselamat namun cedera dan separuh sedar.
“Ketiga-tiga mereka dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN