fbpx

Dua lelaki bermotosikal tembak kereta di Sitiawan

MOHD. YUSRI HASSAN BASRI

LUMUT: Dua lelaki menaiki sebuah motosikal menembak cermin belakang sebuah kereta yang diparkir di sebuah kawasan perumahan di Sitiawan, dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran mendapati suspek kemudian cuba melepaskan tembakan ke arah rumah pemilik kereta tersebut.

“Bagaimanapun, dipercayai pistol suspek gagal berfungsi sebelum mereka melarikan diri menggunakan motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menjelaskan polis menerima panggilan telefon dari seorang lelaki pada pukul 1.07 tengah hari memaklumkan ada kes tembakan di hadapan rumah rakannya di Sitiawan.

Beliau memaklumkan, hasil siasatan mendapati isteri pemilik rumah ada mendengar bunyi letupan di luar rumah mereka pagi semalam tetapi tidak mengendahkannya.

Kemudian, kira-kira pukul 12.45 tengah hari pemilik rumah yang mempunyai dua anak keluar rumah untuk mengambil barang dan menyedari terdapat kerosakan pada cermin belakang keretanya serta menemui kelongsong peluru di bawah kenderaan tersebut.

Mohd. Yusri memberitahu, pemeriksaan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mendapati terdapat kesan lubang pada cermin belakang kereta dipercayai akibat tembakan serta satu kelongsong peluru dan kepala peluru di lokasi kejadian.

“Polis masih menyiasat motif kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971,” ujarnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Asisten Superintendan Mohd. Azalan Ab. Karim di talian 019-3927837 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN