SEPANG: “Kami sepatutnya hanya perlu bekerja 12 jam sehari tetapi jika gagal dapat pelanggan, bos sindiket itu paksa hingga ada pernah 18 jam tanpa rehat dan kena renjatan elektrik”.
Demikian luahan salah seorang mangsa skim penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Adan (bukan nama sebenar) ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 awal pagi tadi.
Bagaimanapun, derita mereka berakhir apabila berjaya diselamatkan pasukan Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) menerusi misi khas di negara itu baru-baru ini.
Terdahulu, kumpulan enam warga Malaysia yang semuanya berasal dari Sabah dan Sarawak itu selamat tiba dengan menaiki pesawat AirAsia penerbangan AK 535 dari Phnom Penh.
Mereka diraikan oleh Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.
Kepulangan kumpulan tersebut juga disambut wakil dari Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Micheal Anak Joen dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Ceasar Mandela Malakum.
Mengulas lanjut, Adan, 36, yang berasal dari Sabah berkata, mereka pada mulanya dijanjikan akan bekerja sebagai petugas kasino di bandar peranginan terkenal, Sihanoukville.
“Namun apabila tiba di sana, kami dipaksa menipu individu di seluruh dunia terutama Malaysia menerusi panggilan, aplikasi Whatsapp dan media sosial lain,” jelasnya agak kesal.
Beliau dan rakan-rakannya seramai 20 orang ditempatkan di tingkat lima sebuah bangunan setinggi tujuh tingkat dengan dipantau ketat oleh ramai pengawal bersenjata sepanjang masa.
Tugas mereka ujarnya, hanyalah berada di depan komputer masing-masing untuk berhubung dengan ‘pelanggan’ bagi melabur saham, berjudi bahkan bercinta menjadi pasangan kekasih.
Justeru, beliau yang ‘berpengalaman’ luas dalam memperdayakan mangsa itu menasihatkan masyarakat agar elak menekan sebarang pautan tidak dikenali di peranti atau telefon pintar.
‘Link’ tersebut ujarnya merupakan perangkap direka khas pakar teknologi maklumat sindiket terbabit bagi ‘menyedut’ wang daripada akaun bank mangsa tanpa sedar jika telah dilayari.
Menceritakan pengalaman dapat meloloskan diri, Adan berkata, mereka keluar secara senyap dari sebuah hotel yang dijadikan transit kerana markas operasi sindiket itu tengah diubah suai.
Pada masa sama, beliau berasa ralat dengan nasib puluhan lagi mangsa dari Malaysia yang gagal melarikan diri dan bimbang mereka akan diseksa dan dikawal lebih ketat selepas ini.
“Kami berharap mereka juga akan dapat diselamatkan dalam masa terdekat dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya kedutaan sebelum balik ke sini,” katanya.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, masyarakat juga boleh membantu MHO dengan tampil menyumbang kepadai tabung kemanusiaan khas menerusi akaun Maybank 5642 4942 2939.
Setakat ini katanya, lebih RM7,000 sudah berjaya dikumpul dan dana itu akan digunakan untuk kos denda, pengangkutan, makan minum dan sebagainya untuk mangsa sebelum pulang. – UTUSAN








