AS jual peluru berpandu Tomahawk kepada Jerman - Utusan Malaysia

AS jual peluru berpandu Tomahawk kepada Jerman

KAPAL Arleigh Burke, USS Thomas Hudner melancarkan peluru berpandu serangan darat Tomahawk bagi menyokong Operasi Epic Fury dari lokasi yang tidak didedahkan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan peluru berpandu jarak jauh Tomahawk kepada Jerman meskipun sebelum ini timbul keraguan mengenai ranca­ngan penempatannya.

Menurut Canselor, Frie­drich Merz langkah itu akan menutup jurang strategik penting dalam keupayaan pertahanan Jerman.

“Di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Ankara, kami mencapai persetujuan dengan Washington agar peluru berpandu Tomahawk buatan AS akan dibeli dan ditempatkan di Jerman. Pada masa sama, kami akan terus membangunkan sistem pertahanan Eropah sendiri dan menempatkannya di Eropah,” kata Merz kepada Parlimen.

Menurut sumber kerajaan Jerman, menteri pertahanan kedua-dua negara menandatangani surat hasrat bagi urus niaga Tomahawk itu pada Selasa, susulan rundingan terdahulu antara Merz dan Presiden AS, Do­nald Trump serta pegawai kanan keselamatan ke­dua-dua negara.

Menerusi surat itu, AS komited memberikan kelulusan rasmi bagi penjualan peluru berpandu Tomahawk dan sistem pelancar darat Typhoon menjelang Ogos. Namun, jumlah peluru berpandu yang akan diperoleh dirahsiakan.

Pengumuman itu di­buat selepas berbulan-bulan timbul ketidaktentuan sama ada AS akan menempatkan peluru ber­pandu tersebut di Jerman, seperti yang dijanjikan oleh bekas Presiden AS, Joe Biden.

Pada Mei lalu, Merz membayangkan ranca­ngan penempatan Tomahawk itu mungkin dibatalkan selepas tercetus pertikaian antara beliau dan Trump berhubung perang di Iran. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN