Cuaca buruk punca helikopter mendarat cemas - Utusan Malaysia

Cuaca buruk punca helikopter mendarat cemas

KHAIRY Jamaluddin menziarahi Kapten Fedzrol Norazam, juruterbang helikopter yang terhempas di Cameron Highlands semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perkhidmatan Pasukan Doktor Udara (PDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta ditangguhkan seketika bagi mendapatkan pengesahan berkaitan keselamatan helikopter yang disewa Kementerian Kesihatan daripada sebuah syarikat swasta.

Penangguhan itu ekoran nahas udara yang berlaku pada pukul 1.05 petang membabitkan helikopter jenis Eurocopter AS 355 F2 dikendalikan syarikat Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd. yang terhempas ketika melakukan pendaratan cemas dekat Brinchang, Cameron Highlands semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penangguhan perkhidmatan itu hanya untuk jangka pendek melibatkan PDU yang berpangkalan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

“Kita mesti melihat kepada keselamatan perkhidmatan PDU ini juga, untuk jangka pendek kita hentikan dulu tetapi tidak lama sebab kita mahu tengok dari segi keselamatan helikopter yang disewa. Kita mahu tahu apa perancangan syarikat itu termasuk sama ada mereka mempunyai cukup helikopter, ada juruterbang atau tidak dan komitmen lain.

“Sebab itu kita tangguhkan, tapi sudah tentu kita minta diberi keutamaan kerana perkhidmatan kesihatan udara sangat penting bagi penduduk di perkampungan Orang Asli,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat kesemua mangsa yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Menurut beliau, penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan pasukan lain PDU diberi taklimat dan kaunseling yang mana mereka mungkin turut terganggu dengan insiden berkenaan.

Katanya, terdapat dua pasukan PDU di Perak yang memberi perkhidmatan di perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Hulu Perak.

“Kita ada dua pasukan dan mungkin rasa risau untuk meneruskan misi mereka. Jadi saya minta taklimat dan kaunseling diberikan keapda pasukan kedua supaya mereka yakin dapat meneruskan tugas.

“Jadi saya tidak jangka perkhidmatan ini terganggu dalam tempoh yang lama, mungkin beberapa hari saja. Saya harap ia akan disambung secepat mungkin,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan dapatan awal, kejadian helikopter terhempas itu ekoran cuaca buruk hingga mengakibatkan juruterbang berusaha melakukan pendaratan kecemasan.

“Buat masa ini, berdasarkan kenyataan daripada polis dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), nahas tiada kaitan dengan pesawat sebaliknya keadaan cuaca.

“Apa yang dilakukan juruterbang adalah untuk memastikan helikopter itu dapat mendarat dengan selamat disebabkan cuaca yang  sangat buruk pada waktu itu. Jadi, kita serahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk laksanakan siasatan mereka,” katanya.

Menerusi laporan media, helikopter dinaiki lima pegawai perubatan termasuk seorang doktor dan juruterbang itu dalam perjalanan dari Kampung Gawin, Gua Musang ke Pangkalan PDU di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

Dalam kejadian itu, juruterbang, Fedzrol Norazam, 43; Munirah Abd. Rahman, 53; Zainurol Fazlan Zainudin, 40; Muhamad Azlan Hanifah, 31; Norhasikin Abu Seman, 38, dan Hashilawati Hussin, 43, dilaporkan cedera dan kini dirawat di HRPB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya