PETALING JAYA: Prestasi beregu No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah dilihat sedikit merosot dengan aksi kurang kreatif memudahkan lawan membaca corak permainan mereka.
Gandingan No. 2 dunia itu terkandas di suku akhir Terbuka Indonesia selepas dikejutkan beregu ke-13 dunia, Rui Hirokami-Sayaka Hobara dari Jepun 20-22, 16-21 dalam masa 46 minit di Istora Senayan, Jakarta, kelmarin.
Beregu itu sebenarnya masih jauh daripada prestasi terbaik yang pernah mereka pamerkan selepas Sukan Olimpik di Paris sehingga melonjakkan ranking dunia mereka ke tangga No. 2 dunia.
Isu kecederaan yang melanda Pearly-Thinaah turut merencat kemajuan pasangan itu yang pada ketika ini terperangkap dengan permainan hambar dan kerap melakukan kesilapan yang menghadirkan mata mudah kepada lawan.
Pearly sendiri mengakui kekurangan dalam permainan mereka sehingga gagal beraksi dengan baik.
“Saya sangat kecewa dengan kekalahan ini, tetapi kami perlu pulang dan berbincang.
“Seperti biasa apabila kami kalah, sudah tentu banyak perkara yang perlu kami perbaiki dan dalam perlawanan hari ini (kelmarin), banyak bahagian yang kami berdua tidak lakukan dengan baik,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Terbuka Indonesia merupakan kejohanan kedua pasangan itu sejak Pearly pulih daripada kecederaan belakang dan kemaraan ke suku akhir sekurang-kurangnya lebih baik berbanding penampilan sulung mereka di Singapura, minggu lalu selepas tersingkir seawal pusingan kedua.
Thinaah pula berkata, beregu Jepun memberi banyak tekanan dan di atas faktor itu, mereka gagal menyusun strategi untuk mengatasi situasi tersebut.
“Saya rasa mereka menyerang dengan baik, lebih-lebih lagi gabungan pemain kidal dan pemain tangan kanan memberi lawan kelebihan.
“Tetapi ya, seperti apa yang Pearly katakan, kami perlu pulang dan berbincang tentang perkara ini serta perlu belajar daripada kesilapan,” katanya.-UTUSAN










