BAGI kebanyakan atlet, persaraan adalah noktah kepada perjalanan panjang yang penuh pengorbanan dan kenangan.
Namun bagi bekas pemain skuasy No. 12 dunia, Delia Arnold, persaraan yang diumumkannya pada 2017 sebenarnya hanyalah satu persinggahan sebelum dia menemui semula semangat yang pernah hilang.
Selepas hampir dua dekad mengabdikan hidup kepada skuasy, Delia membuat keputusan mengejut untuk menggantung raket ketika berada dalam kalangan pemain terbaik dunia.
Ketika itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur tersebut mengakui dirinya sudah kehabisan motivasi dan tidak lagi menikmati sukan yang selama ini menjadi sebahagian besar hidupnya.
“Saya rasa sudah bosan dengan skuasy kerana saya sudah melakukannya selama bertahun-tahun.

“Jadi apabila jumpa pickleball, saya rasa teruja semula kerana masih banyak perkara yang boleh dipelajari,” kata Delia kepada Mingguan Malaysia.
Beberapa tahun selepas meninggalkan gelanggang kompetitif, Delia mula berjinak-jinak dengan pickleball yang pada mulanya sekadar aktiviti santai bersama rakan-rakan.
Tanpa disedari, sukan yang sedang berkembang pesat itu sedikit demi sedikit menghidupkan semula naluri persaingan yang pernah menjadikan beliau antara pemain skuasy terbaik negara.
Daripada sekadar mencari ruang untuk bersenam, Delia kini kembali aktif menyertai kejohanan dan bersaing dengan pemain dari dalam serta luar negara.
“Pada mulanya saya bermain untuk berseronok dengan kawan-kawan dan mendapatkan senaman yang baik.
“Sekarang saya semakin serius dan mula bermain lebih banyak kejohanan di luar Malaysia,” katanya.
Keterujaan itu menjadi sesuatu yang sukar ditemuinya pada penghujung karier skuasy apabila tekanan dan rutin yang sama mula memadamkan keseronokan sebagai atlet.
Walaupun bertukar gelanggang dan menggunakan peralatan berbeza, asas yang dibina sepanjang karier skuasy terus menjadi bekalan penting dalam perjalanannya kali kedua sebagai atlet.
Pengalaman bertahun-tahun berlatih dan bersaing di pentas tertinggi dunia membolehkannya menyesuaikan diri dengan cepat dalam sukan baharu itu.
Malah, Delia melihat perkembangan pickleball di Malaysia semakin memberangsangkan apabila semakin ramai pemain tempatan berpeluang menentang atlet antarabangsa.
Beliau percaya pendedahan seperti itu penting untuk meningkatkan standard permainan dan membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan.
“Saya gembira dapat bersaing semula dan mahu lihat sejauh mana saya boleh pergi dalam sukan ini,” katanya.
Bagi Delia, persaraan bukan bermaksud meninggalkan dunia sukan selama-lamanya, sebaliknya kadangkala seseorang atlet hanya memerlukan jalan baharu untuk kembali jatuh cinta kepada persaingan yang pernah ditinggalkan.-UTUSAN










