PONTIAN: UMNO menyifatkan cadangan pelantikan tiga Timbalan Perdana Menteri termasuk dari Sabah dan Sarawak sebagai suatu game changer (pencetus perubahan) yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana parti politik.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara tersebut telah lama dibincangkan, namun baru diumumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Katanya, pelantikan tiga Timbalan Perdana Menteri bukan satu pembaziran kerana sebelum ini terdapat empat orang Menteri Kanan yang boleh dihentikan sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Tetapi apabila jawatan empat Menteri Kanan ditiadakan dan digantikan dengan tiga Timbalan Perdana Menteri, ia adalah satu pilihan lebih baik kepada rakyat di kedua-dua negeri itu.
“Mereka tentu boleh mengkhususkan kerja masing-masing di Sabah dan Sarawak serta Semenanjung bagi membantu tugas-tugas Perdana Menteri,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Ketua MIC Bahagian Pontian, Ajit Johi, di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid mencadangkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung dapat dimasukkan dalam manifesto BN sekiranya menang dengan dominan.
Beliau juga yakin Perdana Menteri menerima cadangan itu kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahmad selaku penyandang kerusi Parlimen Pontian menambah, cadangan perlantikan mereka yang akan dimasukkan ke dalam manifesto BN bagi menghadapi PRU-15, tentunya sesuatu dinantikan oleh penduduk di kedua-dua negeri tersebut.
“Kita sentiasa menghargai komitmen dan sokongan pengundi dari Sabah yang memiliki 25 kerusi Parlimen dan di Sarawak 31 kerusi Parlimen bagi sama-sama membentuk kerajaan Persekutuan nanti.
“Di Sabah, daripada 25 kerusi, kita berharap mereka dapat memenangi lebih 18 kerusi, manakala di Sarawak pula menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 25 kerusi,” ujarnya. – UTUSAN










