BN pertaruh Sing Phing rampas Indera Kayangan?

[ANALISIS] BN pertaruh Sing Phing rampas Indera Kayangan?

NG SING PHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan jatuh ke tangan PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013, Barisan Nasional (BN) khususnya MCA terus kempunan merampas kembali kawasan berkenaan.

Dari kekalahan dengan majoriti 1,092 undi dalam PRU13, jumlah tersebut melonjak hampir dua kali ganda kepada 3,177 undi dalam PRU14 sekali gus menjadikan PKR terlalu sukar digugat di Indera Kayangan yang merangkumi komposisi pengundi iaitu 53 peratus pengundi Melayu dan 39 peratus Cina.

DUN Indera Kayangan sebelum ini adalah salah satu kubu kuat BN sejak sekian lama sebelum dibadai ‘tsunami’ apabila lebih 80 peratus pengundi Cina beralih arah memilih PKR dalam PRU13 sebelum BN sekali lagi dihukum pada pilihan raya lalu.

Sebenarnya tidak mustahil untuk BN merampas kembali Indera Kayangan pada PRU15 jika parti itu menampilkan calon yang benar-benar boleh menarik kembali sokongan pengundi di situ.

MCA difahamkan mengemukakan tiga nama calon untuk disaring seterusnya dipilih bertanding di kawasan berkenaan antaranya Ketua Pemuda MCA negeri, Ng Sing Phing; Ketua MCA Bahagian Kangar, Lam Yit Thai dan Ketua Pemuda MCA Bahagian Padang Besar, Lim Weng Khee.

Antara nama yang disebut-sebut bertanding di Indera Kayangan ialah Sing Phing iaitu seorang anak muda berusia 36 tahun yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Nama Sing Phing bukanlah asing di Perlis khususnya di Indera Kayangan. Ini berikutan komitmennya yang sering turun padang menyantuni rakyat menyebabkan beliau disenangi penduduk di kawasan berkenaan.

Bagi mencabar penyandang kerusi DUN berkenaan, Gan Ay Ling, calon yang bakal diketengahkan BN itu perlulah dalam kalangan pemimpin yang lebih segar, disenangi terutama dalam menarik sokongan pengundi muda.

Sing Phing mungkin menjadi antara pilihan terbaik untuk diketengahkan di Indera Kayangan namun segala keputusan terserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk memperhalusi calon-calon PRU15 yang boleh memberi kemenangan kepada BN.

Pada PRU14, calon PKR, Ay Ling yang memperolehi 5,023 undi menewaskan wakil BN, Chuah Tian Hee (1,846) dan Wan Hassan (1,835) dari Pas dengan majoriti 3,177 undi di kerusi berkenaan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN