SEPANG: Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan senarai calon melibatkan 166 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Selasa.
Gambaran itu dibayangkan Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan turut meliputi tiga negeri diadakan serentak pilihan raya Dewan Undangan (DUN) masing-masing.
“Insya-Allah, jika dimuktamadkan isu pengagihan kerusi antara semua komponen BN, maka saya jangka Selasa ini boleh diumum senarai calon bertanding,” katanya kepada pemberita selepas hadir menunggang motosikal bagi melancarkan Jentera PRU-15 Parlimen Sepang di Kompleks Muhibbah, Tanjung Sepat yang disertai kira-kira 800 buah motosikal.
Mengulas isu kelewatan BN mengumumkan calon berbanding PH dan Perikatan Nasional (PN), Asyraf Wajdi dalam nada sindiran berkata, dua blok itu sepatutnya fokus kepada isu banjir.
“Saya pelik kenapa mereka paling cepat umum calon sebab kata konon mahu tumpu masalah banjir, walhal BN memang lazim akan umum beberapa hari sebelum penamaan,” katanya.
Justeru ujarnya, tidak timbul isu BN ketandusan calon atau bertelagah untuk kerusi tertentu kerana blok itu sentiasa bermuafakat dan amat teliti dalam saringan senarai nama dicalonkan.
Langkah ketat itu juga ujarnya untuk memastikan tiada pihak tertentu dalam BN sendiri yang mungkin merancang bagi melakukan sabotaj kepada calon kerana kecewa tidak disenaraikan.
Untuk 25 kerusi Parlimen di Sabah, pengagihan terserah kepada BN negeri itu yang ada autonomi sendiri manakala 31 kerusi di jirannya akan melibatkan Gabungan Parti Sarawak.
Menyentuh tindakan pemimpin PH yang berpindah kerusi, beliau menyifatkan individu tersebut bukannya mahu berkhidmat kepada rakyat dan lebih kepada kepentingan politik peribadi.
Asyraf Wajdi bagaimanapun mengakui beliau sendiri tidak tahu akan dicalonkan untuk kerusi mana dan berserah kepada kepimpinan BN bagi memuktamadkan senarai nama berkenaan.
“Saya pun tidak tahu sebab ada kata saya konon akan pergi bertanding kerusi selamat di negeri tertentu tetapi apa yang pasti bukan di Parlimen Sepang,” katanya dalam nada berseloroh.- UTUSAN










