GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli menunjukkan ketabahan luar biasa apabila masih mampu berjalan kaki kira-kira 30 minit untuk pulang ke rumah dalam keadaan kepala berlumuran darah akibat dihempap pokok ketika membersihkan kebun di Kampung Piyel, Pos Bihai di sini, semalam.
Langnit Asang, 26, dikatakan sempat sampai di rumahnya sebelum tidak sedarkan diri.
Abang saudaranya, Rantau Poat, 41, berkata, sebelum kejadian, Langnit keluar bersendirian ke kebun kira-kira pukul 8 pagi untuk membersihkan kawasan tersebut.
Katanya, mangsa pulang dalam keadaan cedera parah dengan berjalan kaki sebelum rebah dan pengsan di rumah kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Kami terkejut melihat keadaannya yang berlumuran darah. Dia sempat memberitahu kepalanya terkena batang pokok yang tumbang ketika menebang pokok.
“Dia terpaksa menahan sakit beberapa jam sebelum menerima bantuan kecemasan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira pukul 3 petang untuk rawatan lanjut di Hospital Gua Musang,” katanya.
Sementara itu, Juruterbang Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, Mohd. Azuna Mohamed Sabri berkata, pesawat Mi-17-IV berlepas dari Subang kira-kira pukul 1.30 petang sebelum mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang sejam kemudian untuk mengambil seorang doktor dan pembantu perubatan.
Katanya, pesawat kemudian mendarat di Kampung Piyel pada pukul 3 petang bagi membawa keluar mangsa.
“Mangsa dipercayai tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan yang banyak sebelum diberikan rawatan awal. Mangsa diletakkan di atas pengusung dan dibawa masuk ke dalam pesawat dengan bantuan anggota Pasukan Khas Udara Bomba bersama penduduk kampung.
“Pesawat selamat mendarat di BBP Gua Musang pada pukul 3.34 petang sebelum mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN










