Hidangan kuih bakar merupakan salah satu daripada pelbagai juadah tradisional yang terus mendapat tempat dalam kalangan peminat makanan di negara ini.
Apabila ia diolah dengan kesesuaian dan cita rasa kulinari terkini, kuih bakar bukan sahaja terus dinikmati golongan berusia, tetapi juga oleh golongan muda selain turut berupaya merentas Tambak Johor ke negara seberang, Singapura.

Meskipun ringkas, kuih bakar yang dimasak berasaskan tepung, santan, telur dan gula itu menghasilkan tekstur lembut di dalam serta garing di luar.
Menyedari potensi kuih tradisional itu, usahawan, Nur Hidayu Maat, 40, komited mempopularkan kembali kuih itu menerusi jenama perniagaannya, Kueh Bakor by Sugarbake yang kini beroperasi di beberapa lokasi sekitar Johor.
“Dahulu keluarga saya menguruskan restoran Serambi Uda. Tetapi apabila ibu kata mahu berehat daripada berniaga, saya komited ambil alih perniagaan. Bermula daripada itu, timbul idea untuk pelanggan membawa ole-ole pulang selain kerepek.
“Setelah mengkaji, saya fikir kuih bakar sesuai kerana ramai pelanggan restoran khususnya golongan berusia suka kuih tradisional. Saya mula bereksperimen dengan resipi kuih bakar dan tercetus perisa pertama iaitu Pandan Asli.
“Selama hampir tiga tahun saya terus lakukan eksperimen bagi mencari rasa terbaik yang bersesuaian dengan kuih bakar. Kemudian lahirlah beberapa perisa lain antaranya pisang, labu, ubi, jagung, dangai, kacang, roti, berlauk daging, rendang dan sambal, selain dua perisa bermusim iaitu durian dan cempedak,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah Nur Hidayu, antara keunikan kuih bakar yang dijualnya adalah ia dibakar terus di dalam ketuhar sebelum dijual kepada pembeli.

“Kuih bakar kami dibakar terus dari ketuhar sebelum dihidangkan kepada pelanggan. Mereka yang menjamu dapat menikmati aroma enak kuih bakar menyelerakan dengan pelbagai perisa berlainan.
“Kuih bakar asalnya memang manis, tetapi saya sesuaikan perisa itu supaya ia dapat dinikmati pelbagai golongan. Kesedapan sesuatu makanan itu subjektif, tetapi saya mahu semua orang boleh menikmatinya,” katanya.
Nur Hidayu yang merupakan anak jati kelahiran Johor Bahru itu berkata, perisa rendang dan berlauk hanya dikeluarkan ketika bulan Ramadan dan Aidilfitri, manakala keluaran istimewa seperti bolognese, daging, keju dan pepperoni dikeluarkan semasa sambutan Krismas.
“Setiap musim ada keistimewaannya. Pelanggan sudah tahu, jadi apabila perisa istimewa keluar, mereka akan datang semula untuk membeli.
“Buat masa ini permintaan paling tinggi diterima adalah perisa pandan, durian dan berlauk. Setiap satu perisa ada penggemar tersendiri, malah pelanggan berbangsa Cina gemarkan perisa ubi dan dangai kerana rasanya lembut dan berlemak,” katanya.
Kini, dengan pengeluaran mencecah 2,000 biji sehari menerusi lima outlet di Johor, ibu kepada empat cahaya mata ini merancang untuk mengembangkan cawangannya ke Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Premis ‘Kueh Bakor by Sugarbake’ masih mengekalkan harga jualan antara RM8 hingga RM15 setiap satu bagi mengekalkan kehadiran pelanggan dan sokongan yang diberikan mereka terhadap perniagaannya.-UTUSAN










