KULAI : Sebanyak 101.66 juta panggilan penipuan (spoof call) berjaya disekat menerusi inisiatif baharu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat telekomunikasi (telco) tempatan sejak Februari hingga Ogos lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelaksanaan Inter-operator Spoofing Gateway yang mula diguna pakai sejak awal tahun ini terbukti berkesan apabila trend panggilan penipuan mencatatkan penurunan mendadak pada Julai dan Ogos.
Beliau berkata, inisiatif ini merupakan kolaborasi antara syarikat telco yang berfungsi untuk mengesahkan kesahihan nombor telefon pemanggil secara langsung bagi menyekat panggilan penipuan (scam).
“Sistem berkenaan berfungsi mengesan kegiatan ‘scammer’ di luar negara yang menggunakan teknologi spoofing untuk memalsukan nombor telefon supaya kelihatan seperti menerima panggilan daripada nombor berdaftar tempatan.
“Melalui inisiatif ini, syarikat telco berkongsi maklumat bagi menyemak status sebenar pemilik nombor telefon berkenaan sama ada berada di luar negara (roaming) atau tidak.
“Sekiranya tidak, panggilan tersebut disahkan sebagai spoof call dan disekat serta-merta,” katanya kepada pemberita pada program Tonton Wayang Bersama Ahli Parlimen Kulai di sini hari ini.
Mengulas mengenai isu akaun WhatsApp yang digodam dan disekat, Nie Ching berkata, MCMC akan mengadakan mesyuarat secara dalam talian bersama syarikat induknya, Meta, pada esok.
Beliau yang jugak Ahli Parlimen Kulai berkata, pertemuan tersebut bertujuan mendapatkan taklimat terperinci daripada Meta berhubung punca isu sekatan akaun berkenaan. –UTUSAN











