KUALA LUMPUR : Kerajaan belum membincangkan sebarang tindakan termasuk menyenarai hitam kepada pelajar yang terlibat dalam penjualan alat Peranti Siswa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Pengajian Tinggi akan melihat perkara itu pada masa terdekat.
Justeru, beliau berharap mana-mana pihak yang menerima peranti itu tidak menjualnya memandangkan tujuan kerajaan mengagihkan kemudahan tersebut itu membantu pelajar B40.
“Saya tak tahu sejauh mana kebenarannya dan ada kata susah dijual, saya harap pelajar yang terima jangan jual kita nak bantu mereka, tak kesampaian hajat kerajaan cita-cita kerajaan nak bantu pelajar.
“Dulu Menteri Komunikasi menyatakan kebimbangan inilah (isu jual peranti), dulu kita kata pinjam selepas tamat belajar pulang balik, tentulah mereka tak jual sebab pinjam, tapi bila kita bagi terus tujuan kerajaan baik maknanya hak dia, niat kita baik untuk memudahkan mereka belajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Media City di Angkasapuri di sini hari ini.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan berlakunya kes penjualan semula peranti siswa diperoleh di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia.
Annuar berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melakukannya.
Setakat ini, katanya terdapat 14 kes penjualan semula PerantiSiswa yang dikesan di seluruh negara, dan pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), bertujuan membantu proses pembelajaran mahasiswa Institut Pengajian Tinggi yang berada dalam kelompok B40.
Kelmarin, tular di media sosial mengenai tindakan mahasiswa menjual PerantiSiswa jenis Samsung Galaxy Tab A8 LTE bersama beberapa aksesori yang diperoleh, dengan harga lebih murah daripada harga pasaran. – UTUSAN










