Bekas ahli politik bergelar Datuk ditahan, disyaki dalang sindiket pemerdagangan orang - Utusan Malaysia

Bekas ahli politik bergelar Datuk ditahan, disyaki dalang sindiket pemerdagangan orang

MOHD. Shuhaily Mohd. Zain menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada sindiket pemerdagangan orang dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pemerdagangan orang selepas menahan 11 suspek termasuk seorang bekas ahli politik dalam beberapa siri serbuan di Timur Laut dan Seberang Perai Selatan (SPS) sejak Khamis lalu hingga semalam.

Bekas ahli politik bergelar Datuk berusia 50-an yang merupakan pengasas pusat pemulihan dadah dan alkohol yang berpusat di SPS dan Timur Laut itu ditahan di rumahnya di sini, kira-kira pukul 8.25 malam semalam.

Ahli politik berkenaan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) namun tewas, malah turut hilang deposit.

Difahamkan, penghuni-penghuni yang menghuni pusat pemulihan dadah dan alkohol itu dipercayai menjadi mangsa eksploitasi buruh apabila dipaksa bekerja tanpa diberi gaji.

Malah, mereka turut dipukul dengan rotan serta diikat dengan rantai besi sekiranya enggan mengikut arahan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, selain bekas ahli politik berkenaan, polis menahan 10 lagi suspek berusia antara 22 dan 60 tahun termasuk dua wanita  dalam operasi itu.

”Menerusi siasatan kita dapati pusat ini telah dibuka sejak dua tahun lalu dan tidak mempunyai permit yang sah daripada mana-mana agensi.

”Mangsa terdiri daripada mereka yang mendapatkan rawatan kerana ketagihan dadah dan alkohol di pusat berkenaan dan ada yang membayar wang antara RM1,200 dan RM1,500 sebulan.

”Penghuni pusat ini dipaksa bekerja sebagai buruh di pusat cuci kereta, kedai makan, kedai kayu dan kedai servis pendingin hawa, namun mereka tidak dibayar gaji atau diberikan cuti sepanjang tempoh bekerja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut beliau, dengan penahanan suspek-suspek tersebut polis berjaya menyelamatkan 13 mangsa yang mana kesemuanya lelaki berusia antara 22 hingga 62 tahun.

”Sindiket ini didapati menyasarkan individu yang mempunyai masalah ketagihan dadah dan alkohol. Hasil pemeriksaan fizikal mendapati kebanyakan mangsa mempunyai kesan kecederaan akibat dipukul,” katanya.

Tambahnya, polis turut merampas beberapa barangan antaranya sebuah komputer riba, sembilan buah telefon bimbit, dua utas rantai besi, sebatang paip PVC dan dua batang besi penyambung katil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Mohd. Shuhaily berkata, kes penipuan menerusi siber dan multimedia di negeri ini menurun berbanding tahun lalu.

”Terdapat 1,663 kes tahun ini melibatkan kerugian sebanyak RM27.1 juta dan menurun daripada 2,291 kes melibatkan kerugian kepada RM34.1 juta tahun lepas. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 628 kes melibatkan kerugian RM6.98 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya