WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan naik berang sebelum bertindak menghentikan wawancara secara mengejut di pertengahan jalan ketika ditemu bual oleh moderator program Meet the Press terbitan NBC, Kristen Welker.
Tindakan drastik itu diambil selepas Welker terus mendesak Presiden AS itu bagi mengemukakan bukti berhubung dakwaan kononnya pilihan raya presiden pada tahun 2020 telah dimanipulasi dan ‘dicuri’ daripada beliau.
Suasana di lokasi dilaporkan bertukar tegang apabila Trump mula membidas Welker secara terbuka, malah melabelkan wartawan veteran berkenaan sebagai seorang penipu di hadapan kamera.
“Pilihan raya di negara ini sudah jadi macam negara dunia ketiga. Pilihan raya kamu korup, kamu sendiri korup, program ‘Meet the Press’ korup, begitu juga dengan stesen televisyen lain seperti ABC, CBS dan CNN,” herdik Trump dalam wawancara yang disiarkan pada Ahad.
Meskipun Welker cuba mencelah untuk menenangkan keadaan, Trump enggan bertolak ansur dan terus memotong penjelasan wartawan terbabit.
“Kalian semua adalah rangkaian media berat sebelah yang korup. Cukuplah sampai di sini sahaja,” bidas Trump dalam nada marah sebelum mula bangun dari kerusinya untuk beredar dari set penggambaran.
Melihat keadaan yang semakin hilang kawalan, Welker yang berada dalam situasi cemas cuba merayu kepada Trump untuk terus kekal berada di situ, memandangkan beliau bersama kru penerbitan telah menempuh perjalanan yang jauh ke Wisconsin demi mendapatkan sesi temu bual eksklusif berkenaan.
“Tuan Presiden, tolonglah. Saya telah mengembara sepanjang jalan untuk datang ke Wisconsin ini,” rayu Welker.
Bagaimanapun, rayuan tersebut tidak diendahkan oleh Trump yang menyifatkan beliau sudah meluangkan masa yang lebih daripada cukup untuk sesi berkenaan walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu.
“Saya sudah duduk dalam hujan bersama kamu selama sejam! Kejap hujan, kejap berhenti. Saya sudah berikan masa yang cukup untuk kamu.
“Kamu sepatutnya perbetulkan cara kerja media kamu. Kamu tahu apa? Sesebuah negara tidak akan pernah menjadi hebat jika mempunyai barisan pengamal media yang tidak jujur,” tegas Trump sebelum terus melangkah keluar sambil dikejar oleh Welker yang masih tidak berputus asa memintanya untuk kembali duduk. – AGENSI










