PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) mahu bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad terus mempertahan Parlimen Kuala Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setelah melihat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengintai peluang bertanding kerusi itu.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kawasan itu dianggap sangat kritikal dan serius serta penting dimenangi Pakatan Harapan (PH).
“Kami mengambil maklum hasrat dan niat baik Dzulkefly untuk memberi laluan kepada calon yang lebih muda daripada beliau dalam pilihan raya umum kali ini. Beliau sudah lama menyebut perkara ini kepada pimpinan parti, kami pun memberi isyarat awal untuk mengizinkannya.
“Tetapi setelah UMNO mahu meletakkan Tengku Zafrul sebagai calon mereka di Parlimen Kuala Selangor, kami pimpinan Amanah dan juga PH mahu Dzulkefly bertanding untuk mempertahan kerusi Kuala Selangor ini sekali lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkefly sebelum ini dilaporkan ingin memberi laluan kepada muka baharu di kerusi Parlimen itu sekali gus memberi isyarat awal kepada Tengku Zafrul mewakili Barisan Nasional (BN) untuk merampasnya daripada PH.
Menurut Salahuddin, pihaknya yakin Dzulkefly mampu mengekalkan kerusi itu berdasarkan kerja buat beliau pada selama ini.
“Rakyat Kuala Selangor tahu kegigihan beliau membantu rakyat di samping tugasan di peringkat negeri Selangor dan juga sebagai menteri di Kementerian Kesihatan dahulu. Saya mendoakan kejayaan beliau untuk pilihan raya kali ini dan kita sama-sama sekali lagi melaksanakan amanah rakyat untuk negara,” katanya. – UTUSAN










