872 pegawai, anggota PDRM Terengganu bersedia hadapi banjir

872 pegawai, anggota PDRM Terengganu bersiap siaga hadapi banjir

ROHAIMI MD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 872 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu berada dalam keadaan siap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa, berkata, kekuatan itu melibatkan seramai 144 pegawai dan 728 anggota yang boleh dikerah bagi urusan menyelamat dan aktif bertugas sepanjang tempoh bencana.

Beliau menjelaskan, jumlah itu boleh ditambah dengan anggota unit sokongan Pasukan Gerak Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) atau Bukit Aman jika keadaan memerlukan.

“PDRM negeri telah menggerakkan susun atur penugasan dari segi kekuatan anggota serta aset terutama di daerah Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman yang dijangka mengalami banjir besar.

“Kita juga telah mengeluarkan arahan pembekuan cuti kepada semua pegawai, anggota dan kakitangan awam PDRM Terengganu berkuatkuasa 1 November depan.

“Secara keseluruhan, 2,848 pegawai dan anggota pelbagai agensi telah bersiap sedia,” jelasnya dalam sidang akhbar sempena persiapan menghadapi MTL di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rohaimi berkata, pihaknya turut memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak mencetuskan panik dan kegusaran dalam masyarakat dengan menularkan maklumat tidak tepat di media sosial.

Beliau berkata, pihaknya mendapati terdapat individu yang menokok-tambah persediaan dan simulasi yang dibuat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berhubung isu Empangan Kenyir.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab kerana ianya boleh meresahkan masyarakat terutama mereka di zon merah.

“Kerajaan negeri akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) menghadapi bencana banjir dalam masa terdekat dan itu adalah satu-satunya sumber sahih yang boleh diambil.

“Walaupun tiada laporan dibuat berhubung penularan maklumat palsu itu, kita pandang serius perkara ini kerana mahu membendung daripada ianya berterusan,” tegas beliau. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN