PETALING JAYA: Semua ahli Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang terpalit siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direhatkan serta-merta, termasuk dua yang direman empat hari berkait penyelewengan dana zakat kira-kira RM230 juta.
Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sewajarnya selaras dengan keperluan undang-undang serta prinsip keadilan dalam kes penahanan tiga individu di Hulu Selangor yang disyaki terlibat berkaitan pengurusan dana zakat.
Beliau berkata, Ikram menegaskan bahawa integriti serta amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi.
“Sebagai langkah pentadbiran dan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi.
“Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini, dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana zakat kira-kira RM230 juta.
Tempoh reman ke atas dua lelaki berusia lingkungan 57 hingga 61 itu dibenarkan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Badlishah berkata, perkara itu melibatkan tindakan individu dan tidak membabitkan organisasi secara langsung.
Katanya, selaras dengan Perlembagaan Ikram, jika didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara.
“Ikram akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara ini. Segala keputusan dan penjelasan adalah tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.
“Kami juga komited untuk terus menilai dan memperkukuh amalan tadbir urus organisasi agar telus, berintegriti serta selaras dengan tuntutan syarak dan prinsip kedaulatan undang-undang. Semakan dalaman sedang dan akan diteruskan bagi memastikan penilaian yang menyeluruh,” katanya. – UTUSAN










